Dakwaan salah laku, RoS digesa siasat UMNO Bahagian Kota Kinabalu

umno-kk.jpg

Zulfikar (tiga dari kanan) menunjukkan laporan yang dihantar kepada RoS supaya siasatan dapat dilakukan terhadap UMNO Bahagian Kota Kinabalu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 70 cawangan UMNO dari Bahagian Kota Kinabalu meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat siasatan terhadap dakwaan berlaku penyelewengan dan salah laku di bahagian tersebut.

Jurucakap mewakili kumpulan berkenaan, Dr Zulfikar Zulkifli berkata, laporan dibuat kepada RoS selepas semua prosedur telah dilakukan, namun tiada sebarang tindakan diambil daripada UMNO di peringkat bahagian, negeri dan Pusat.

Dakwanya, berlaku penukaran ahli dalam cawangan secara haram dan menyebabkan ahli tidak dapat menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.

“Saya bersama dengan ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu hari ini membuat laporan di RoS berhubung penyelewengan dan salah laku yang berlaku dalam Bahagian Kota Kinabalu.

“Antara perkara utama ialah penukaran cawangan ahli-ahli secara haram tanpa kebenaran ahli itu sendiri dan menyebabkan mereka ini tidak dapat mengundi kerana berada di cawangan yang tidak diketahui siapa.

“Kejadian ini merosakkan hak dan tanggungjawab ahli itu sendiri kerana tidak boleh mengundi di cawangan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di pejabat RoS di Wisma MAA di sini pada Isnin.

Zulfikar yang juga Ketua Cawangan Pasar Baru turut mendakwa bahawa itu adalah jenayah kolar putih kerana ia dibuat menerusi sistem UMNO yang mana ada pihak bertanggungjawab memasukkan data berkenaan di dalam sistem.

“Baru-baru ini kami diarahkan untuk membuat pemilihan semula pada 1 dan 2 Julai lalu, namun masalah pokok pemindahan ahli secara haram belum pun diselesaikan jadi bagaimana kami mahu membuat pemilihan secara adil.

“Kami juga berasa terkejut semasa pemilihan berlaku, ada lagi penyelewengan baharu kami kesan apabila perwakilan kami dikurangkan jumlahnya sama ada ditukar, dipindah atau dicicirkan.

“Contohnya dalam satu cawangan perwakilan wanita sepatutnya ada lima orang tetapi yang dimasukkan dalam sistem hanya tiga orang sedangkan dalam mesyuarat cawangan sudah dinyatakan siapa lima orang itu.

“Saya boleh katakan ini jenayah kolar putih, kita mahu tahu siapa penjenayah ini sebab dalam sistem UMNO itu kita boleh tahu siapa yang memasukkan data dengan menggunakan akaun siapa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa supaya RoS membuat siasatan dengan terperinci terhadap perkara yang berlaku dalam UMNO Bahagian Kota Kinabalu.

Difahamkan, terdapat kira-kira lebih 10,000 ahli membabitkan 70 cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu yang terlibat. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top