KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai salah guna kuasa yang melibatkan urus niaga tanah antara kerajaan negeri dengan seorang ahli perniagaan Sarawak disifatkan sebagai satu percubaan terdesak pembangkang untuk mencemarkan nama baik Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Ketua Penerangan parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dakwaan yang tersiar di Facebook itu dipenuhi fakta rekaan.
“Semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri menunjukkan semua permohonan tanah telah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.
“Malah tiada hak milik.tanah dikeluarkan untuk empat permohonan tanah yang disebut pada laman Facebook itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau lagi dakwaan di laman Facebook itu juga menyebut ahli perniagaan tersebut mempunyai hubungan rapat dengan Hajiji dan kerana itu membuat tanggapan ‘mesti ada sesuatu yang mencurigakan’, padahal individu tersebut juga dilihat rapat dengan ketua menteri sebelum ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Pembangkang tidak dapat menerima kejayaan Ketua Menteri menarik pelabur berimpak tinggi ke Sabah, jadi mereka menggunakan taktik.kotor dan jijik untuk merosakkan imej beliau,” katanya..
Nizam turut menegaskan satu laporan polis akan dibuat ke atas laman Facebook berkenaan bagi membolehkan siasatan dibuat untuk membawa mereka yang menyebarkan pembohongan itu ke muka pengadilan.