MARA akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan penderaan serta gangguan seksual melibatkan pelajar MRSM dan tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada akan diambil terhadap pelaku.
Antara dakwaan itu adalah pemeriksaan kemaluan pelajar wanita MRSM pada Ramadan untuk membuktikan mereka tidak menggunakan alasan datang haid untuk tidak berpuasa.
Beberapa NGO turut merujuk kepada pemeriksaan ke atas bahagian sulit pelajar untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang barangan terlarang (contraband).
Pengerusi MARA, Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan anggota kerja MARA.
“MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan anggota kerja MARA apatah lagi yang melibatkan keselamatan pelajar di Institusi Pendidikan MARA,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan MARA yang didapati terlibat dengan salah laku sehingga mengancam keselamatan pelajar di institusi pendidikan itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat mengikut peruntukan peraturan sedia ada.
“Ini demi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat dan bebas daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Tiga NGO – Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM), Sisters In Islam (SIS) and Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) mendesak pihak MARA untuk meyiasat dakwaan-dakwaan itu yang tular di media sosial.
Azizah berkata MARA bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan imej dan kredibiliti Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sentiasa terpelihara. -FMT