KOTA KINABALU: Dakwaan seorang pemimpin UMNO Sabah bahawa sebuah syarikat pembinaan keluli, Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd menangguhkan pelaburan berjumlah USD4.39 bilion (RM19.6 bilion) di negeri ini disifatkan sebagai tidak berasas.
Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Phoong Jin Zhe berkata dakwaan itu tidak mencerminkan realiti kemajuan projek terbabit antaranya kelulusan kilang oleh Majlis Daerah Sipitang dan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kerja tanah diluluskan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS).
Selain itu, pelaksanaan kerja siasatan tanah bagi tapak pembinaan kilang telah dilakukan, kerja siasatan tanah kawasan laut bagi pembangunan jeti dan terma rujukan EIA juga sudah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar.
“Kerajaan Negeri juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Lesen Pengilang (FML) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 bagi pelaburan sasa 1 telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Jan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik FMT.
Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed mendakwa Esteel telah menangguhkan projek itu kerana hilang keyakinan terhadap pentadbiran negeri, kononnya disebabkan ketidakstabilan dan kredibiliti.
Ketua Umno Putatan itu mendakwa ada sumber memberitahunya tiada kemajuan di tapak projek itu.
Phoong berkata Esteel juga telah memberitahu kerajaan negeri yang kerja penyediaan tapak dan seterusnya pembinaan kilang dijangka bermula Mei.
“Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa syarikat ini menangguhkan pelaburan kerana hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri semasa adalah tidak benar sama sekali,” katanya.