Dakwaan Ceroboh Dibuat Pihak Cemburui Keselamatan Sabah – KPN

KPN.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Dakwaan plot baharu mahu menyerang Sabah dipercayai tindakan manipulasi maklumat oleh pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat negeri itu dengan wilayah selatan Filipina, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, pihak polis komited memastikan tiada pencerobohan berlaku di Sabah.

“Polis mengambil maklum laporan media bahawa terdapat pihak dari Filipina sedang merancang untuk menceroboh Sabah.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak polis mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

Acryl berkata, setakat ini, tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen polis sentiasa dalam keadaan siap siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.

“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir- anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan.

“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” tegasnya.

Hari ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, menafikan laporan berita mengenai 19 ‘Datuk Bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan Sabah.

“Tak benar. Walaupun begitu kita (polis Sabah) akan tingkatkan keselamatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Terdahulu, akhbar melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.

Akhbar itu yang memetik South China Morning Post, menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 Datuk Bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top