Dakwa Warisan-Umno Bersekongkol Tunjuk Dapsy Sabah Terdesak

azis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) menempelak kenyataan Pemuda Sosialis DAP Sabah (DAPSY) yang mendakwa Warisan bersekongkol dengan UMNO bagi meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kenyataan DAPSY Sabah jelas menunjukkan parti itu terdesak akibat kemerosotan sokongan kepada DAP dalam dua pilihan raya sebelum ini.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Ketua Milenial DAPSY Sabah, Chan Loong Wei seolah-olah tidak menyedari dia terjerumus ke dalam perangkap Pemuda UMNO Sabah yang ingin melaga-lagakan DAP dan Warisan untuk mengalihkan perhatian pengundi daripada kegagalan UMNO.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, parti Warisan bertanding dalam PRN Johor bagi memberi pilihan kepada rakyat berikutan prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

“Keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri adalah petunjuk jelas bahawa pengundi tidak lagi menyokong PH.

“Justeru, penglibatan Warisan di dalam PRN Johor adalah bagi memberikan alternatif kepada pengundi-pengundi yang sudah muak dan bosan dengan polemik politik kaum dan agama.

“Jika DAP sememangnya tidak pernah menolak mana-mana parti pembangkang untuk bertanding di Semenanjung Malaysia kerana ia adalah hak demokrasi setiap parti, maka DAP tidak sepatutnya mempersoalkan langkah Warisan bertanding di Johor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azis berkata, mereka sudah bosan dengan lakonan PH di parlimen yang mengeluarkan kata-kata marah dan mengibas tangan mereka di hadapan televisyen, namun disebaliknya, mereka telah membuat perjanjian untuk berkecuali.

Menurutnya, jika UMNO lahir di Istana Johor, mungkin Johor juga merupakan negeri kelahiran Warisan di bumi Semenanjung.

“Jika sejarah telah membuktikan bahawa rakyat Sabah boleh menerima parti-parti yang lahir di bumi Semenanjung maka, rakyat Johor juga seharusnya boleh menerima Warisan berdasarkan track record Warisan yang terbukti mempunyai prinsip dan mengutamakan mandat rakyat pada PRU14.

“Dalam kemelut politik yang melanda negara hari ini selain rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli politik, Warisan merupakan parti yang boleh menjadi pilihan untuk rakyat.

“Warisan serius dan ikhlas untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih progresif dan bersatu dan parti ini sangat konsisten dan enggan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan yang akan menjadikan pembangkang tidak berkesan dan tanpa tujuan lagi.

“Warisan berada di sini untuk membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top