Dakwa Sokong Israel: STAR Lapor Polis

rizal-johari.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menafikan satu catatan Facebook mendakwa pemimpinnya menyokong keganasan Israel terhadap Palestin, dengan membuat sekurang-kurangnya lima laporan polis di Sabah.

Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari (gambar) berkata, catatan itu dibuat seorang pengguna yang disyaki menggunakan akaun palsu dengan nama Danny Lukas Jr kira-kira 6.30 petang Sabtu.

Katanya, parti itu turut memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pemilik akaun terbabit.

“Individu terbabit bukanlah ahli STAR dan dia kerap membuat hantaran di Facebook kononnya mewakili pemimpin STAR dengan tujuan membingungkan masyarakat.

“Kami sentiasa memantau Facebook milik pengguna terbabit dan sebenarnya kami menghormati hak setiap orang untuk bersuara, walaupun ia dilihat memudaratkan parti,” katanya dalam kenyataan.

Catatan di Facebook yang mendakwa pemimpin STAR menyokong keganasan Israel terhadap Palestin. (Gambar Facebook)

Rizal menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disifatkan melampaui batas dan tindakannya tidak boleh diterima.

Beliau menasihatkan semua penyokong STAR kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang bukan dikeluarkan parti.

Sementara itu, Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan parti itu menyokong Israel yang disifatkannya sebagai fitnah, berniat jahat dan nakal oleh tentera siber parti lawan.

Katanya, STAR tidak akan mencampuri isu antarabangsa, termasuklah konflik terbaharu di Timur Tengah yang ditangani Kementerian Luar serta Putrajaya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top