Dakwa DAP ‘Khianat’: Frankie Bidas Kenyataan Junz Wong

frankie-n-junz.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Poon (gambar, kiri) menuduh Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong (kanan) memutar belit fakta berhubung memorandum persefahaman (MoU) Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan.

Beliau berkata MoU itu perlu bagi menghapuskan tindakan lompat parti dan memulihkan kestabilan di tengah-tengah pandemik ketika mana ramai yang menderita.

“Paling penting, ia adalah peluang bagi blok pembangkang untuk menekan kerajaan persekutuan supaya melakukan reformasi institusi, termasuk membentangkan undang-undang anti lompat parti.

“Tetapi Wong cuba mengelirukan rakyat dengan memberikan gambaran negatif terhadap MoU itu,” katanya, dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Poon merujuk kepada respons Wong terhadap komen Setiausaha Agung DAP yang baharu Loke Siew Fook (Anthony Loke) pada hari Rabu bahawa hubungan tegang antara kedua-dua DAP dan Warisan terjadi kerana beberapa pemimpin Warisan mengambil “pendekatan konfrontasi” terhadap DAP.

Wong berkata hubungan tegang itu hanya bermula selepas “pengkhianatan” DAP apabila PH bersetuju dengan MoU dengan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wong, yang sebelum ini bersama DAP, juga menafikan terdapat sebarang “pendekatan konfrontasi” di pihak pimpinan Warisan.

Poon berkata adalah dalam pengetahuan umum bahawa Sabah sentiasa menjadi mangsa budaya lompat parti, justeru, serangan berterusan Wong dan partinya terhadap DAP adalah tidak wajar.

“Bukankah dia dan Warisan sepatutnya menyokong MoU untuk pembaharuan institusi seperti Undang-undang Anti Lompat Parti selepas Warisan turut menjadi mangsa pembelotan?” soalnya merujuk kepada kejatuhan kerajaan negeri Warisan-PH pada Ogos 2020 akibat pembelotan.

“Mereka (Warisan) juga telah menerima ‘katak politik’ di seluruh negara, dari Selangor ke Tawau,” katanya, merujuk kepada Warisan yang menerima bekas Adun DAP ke dalam parti mereka.

“Adakah ini sebab mereka menentang MoU, kerana mereka tidak fikir budaya itu adalah salah satu amalan paling teruk dan paling korup di Malaysia?”.

Poon turut mempersoalkan kenyataan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai partinya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan yang memperoleh majoriti terbanyak selepas pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

“Adakah ini bermakna Warisan akan menyertai kerajaan Barisan Nasional jika memenangi PRU15?” tanya beliau.

Poon berkata walaupun DAP dengan jelas menyatakan pintunya sentiasa terbuka untuk mereka bekerjasama tetapi tindakan Wong seolah-olah menunjukkan Warisan tidak berminat.

“Adakah Warisan kini secara rasmi menggesa agar hubungan diputuskan dengan pembangkang? Shafie dan Warisan mesti mempertimbangkan langkah mereka dengan bijak.

“Adakah kita mahu satu lagi pembangkang berpecah yang akan membantu Umno kembali seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri Johor dan Melaka? Fikir dan bertindaklah untuk rakyat Sabah.

“Itulah sebabnya kami menyeru Warisan untuk bertenang dan praktikal, kembali ke meja bulat untuk rundingan,” kata Poon.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top