Daftarkan GRS Sebagai Gabungan Parti Politik Sabah – SSK

akujanji-GRS.jpg
Kongsi Bersama

1.Pilihan Raya Melaka baru-baru ini menunjukkan keperluan para pemimpin politik GRS untuk bertindak memperkasakan halatuju GRS.

2. Sebagai ringkasan, pada 12.09.2020 kita tahu GRS diwujudkan sebagai gabungan parti tempatan Sabah yang melibatkan BN, PN dan PBS untuk mengharungi PRN Sabah sebagai gabungan pemerintahan negeri baru.

3. Syukur, rakyat memberikan mandat kepada GRS untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah baru. Gabungan GRS berkesan kerana ianya melibatkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan, di mana ada struktur jelas dan semuanya mempunyai peranan penting.

4. Ternyata, rakyat Sabah mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan masa depan dan kemakmuran yang lebih teratur. PRN Melaka jelas menunjukkan kesinambungan mesej ini.

5. Soalnya sekarang, bagaimanakah kita mengelak pertembungan antara ahli GRS seperti PN dan BN di masa depan seperti yang berlaku di PRN Melaka? Situasi politik Sabah berbeza dari Semenanjung dan kita tidak boleh lalai dalam perkara ini.

6. Sehubungan dengan itu, para pemimpin GRS wajar duduk semeja dan bincang tindakan untuk memperkasakan GRS. Ianya penting untuk memperkuatkan kuasa ahli GRS untuk tentukan halatuju GRS itu sendiri.

7. Oleh itu, kita utamakan pendaftaran GRS sebagai gabungan politik yang rasmi. Para pemimpin GRS perlu bincang segera untuk merealisasikan objektif ini. GRS boleh pertimbangkan membuka keahlian secara langsung kepada para parti lain menjadi ahli parti gabungan GRS dan juga individu yang mahu menjadi ahli GRS biasa.

8. Biar orang awam tidak lagi keliru mengenai GRS. GRS kekal fokus dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah. Kita perlu membangunkan ekonomi negeri, menciptakan peluang pekerjaan dan mempersiapkan generasi anak muda sebagai pemimpin masa depan Sabah.

9. Secara peribadi, saya telah memberikan pandangan saya mengenai perkara ini kepada kepimpinan tertinggi GRS. Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat, tetapi demi masa depan Sabah saya percaya ianya penting untuk membincangkan perkara ini sekarang secara terbuka, membina dan bertimbang rasa.

10. Negeri Sabah mempunyai berkat kekayaan alam semulajadi dan rakyat berbilang kaum yang terkenal dengan sikap toleransi. Sabah sudah wujud sebagai entiti selama 140 tahun, sejak 1 November 1881. Pokoknya, untuk memastikan Sabah terus melangkah GRS perlu ketepikan politik polemik dan kekalkan tumpuan kita untuk #TerusBekerja.

Tulisan di atas, yang mengandungi pandangan bernas dan menarik oleh Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK)  dipetik sepenuhnya daripada hantaran di akaun FB beliau (Salleh Said Keruak) bertarikh 25 November 2021.

 

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top