KOTA KINABALU: Jika sebelum ini penduduk Pulau Banggi terpaksa menaiki bot dengan kos pengangkutan mencecah RM100 untuk mendaftar sijil kelahiran anak, kini mereka tidak perlu lain berbuat sebegitu.
Pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memperluas perkhidmatan Balai Polis Kerakit, Pulau Banggi bagi mendaftar sijil kelahiran bayi memberi kelegaan kepada penduduk yang tinggal di kepulauan terletak di daerah Kudat itu.
Beliau berkata, selepas ini penduduk pedalaman itu boleh mendaftar sijil kelahiran anak tanpa perlu menaiki bot ke Pekan Kudat.
“Semalam, saya juga telah mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf Balai Polis Kerakit. Saya faham banyak lagi balai polis yang perlu dibangunkan di Sabah tapi, kita akan buat secara berperingkat.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sejumlah RM7.4 juta peruntukan diluluskan dalam Pelan Pusingan Kedua (RP 2) bagi pelaksanaan lapan projek menaik taraf beberapa kemudahan balai dan penginapan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semasa penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah kelmarin.
Menurut beliau, selain Balai Polis Kerakit, terdapat sembilan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut diperluaskan fungsi sebagai balai polis seperti dua pos di Semporna dan Beluran serta satu pos kawalan di Tawau, Kudat, Kota Belud, Kinabatangan dan Kota Marudu.
Hamzah berkata, kementerian itu juga sedang melihat keperluan menambah bilangan pos kawalan PGA di sempadan negara dan terbaharu adalah di Pagalungan yang akan memperlihatkan pembinaan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bantul, Pagalungan.
Mengulas tentang operasi dilaksanakan oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepanjang 1 Januari hingga 31 Ogos, sebanyak 984,301 pemeriksaan terhadap orang, kenderaan dan bot.
“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 21 bot dirampas dan 371 orang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan dengan anggaran nilai rampasan barang berjumlah RM26.1 juta.
“Sebanyak 220 tindakan pengusiran dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Jelas beliau, rekod kemasukan pelancong antara Jun hingga September adalah seramai 131,953 pelancong tempatan dan asing telah datang dan melancong ke lima destinasi Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) iaitu Kudat, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.- UTUSAN