Daftar GRS Secara Rasmi: Pemimpin Parti-Parti Komponen Akan Berbincang

GRSx.jpg

Gambar fail: Pemimpin-pemimpin GRS sejurus selepas memenangi PRN 2020.

Kongsi Bersama

TUARAN: Pemimpin parti gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka bertemu dan membincangkan pendaftarannya sebagai parti politik, dan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri Sabah kepada dua penggal, kata pengerusi GRS Hajiji Noor.

Hajiji yang juga ketua menteri berkata kedua-dua cadangan itu pada dasarnya kelihatan menarik tetapi persetujuan semua parti komponen GRS perlu diperolehi sebelum ia dapat dilaksanakan.

Katanya, beliau mengalu-alukan kesediaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Bung Moktar Radin membincangkan cadangan pendaftaran itu dan berharap langkah itu dapat mengukuhkan kerjasama dalam gabungan itu.

“Kerajaan negeri Sabah disokong oleh GRS, jadi untuk mendaftar secara rasmi GRS adalah cadangan yang boleh dipertimbangkan. Apa sahaja yang baik untuk politik Sabah dan GRS, kita akan lihat dan buat kajian mendalam,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Hajiji yang merupakan Ketua Bersatu Sabah melancarkan perhimpunan tahunan bahagian Tuaran Bersatu.

Pengerusi Kelab Backbenchers GRS Salleh Said Keruak baru-baru ini mencadangkan agar pemimpin GRS mengambil langkah segera untuk mendaftarkan gabungan itu sebagai gabungan politik rasmi.

Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata ia akan mengukuhkan GRS dan perlu bagi mengelak perpecahan dalam kalangan ahli gabungan, terutama antara BN dan Perikatan Nasional.

Semalam, Bung Moktar, yang juga timbalan pengerusi GRS, berkata cadangan itu hanyalah pandangan peribadi Salleh, dan memerlukan kajian mendalam.

GRS ialah gabungan parti dalam PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), BN (Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah.

Mengenai cadangan supaya jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal, Hajiji berkata usul itu, yang dicadangkan semasa perhimpunan tahunan bahagian Bersatu di Sabah, akan dibawa kepada kerajaan untuk pertimbangan selepas ia dipersetujui oleh parti komponen GRS.

“Cadangan itu akan melibatkan pindaan kepada perlembagaan negeri Sabah dan perlu diteliti secara menyeluruh oleh semua termasuk pucuk pimpinan GRS. Kemudian barulah kita boleh ambil tindakan seterusnya,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top