Daftar GRS Demi Kestabilan Politik Sabah – Annuar

annuar-ayub-aman-liawan.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub Aman (gambar) turut menyatakan sokongannya terhadap cadangan beberapa pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mencadangkan supaya gabungan itu didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah entiti politik rasmi di negeri ini.

Jelas beliau usaha berkenaan adalah amat tepat bagi memperkasakan lagi gabungan itu sekaligus memastikan segala hala tuju dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk rakyat di negeri ini.

Tambah beliau, ia juga dilihat dapat menyatukan semua parti di bawah satu panji yang diyakini mampu memberi kelebihan kepada GRS untuk menghadapi Pilihan Raya akan datang.

“Usaha ini dapat memastikan kestabilan pembangunan dan kemajuan Sabah secara berterusan malah lebih giat lagi sejajar dengan hala tuju ‘Sabah Maju Jaya’ yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pimpinan GRS.

“Justeru, sebarang usaha yang dapat mengukuhkan GRS wajar disokong semua pihak bagi memastikan segala perancangan yang akan, dan sedang dilaksanakan dapat memberi impak kepada ekonomi dan pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Tambah Annuar lagi, langkah mendaftarkan GRS dapat memantapkan lagi gerak kerja semua parti dalam gabungan itu malah diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk GRS menerajui kerajaan negeri.

“GRS sebelum ini terbukti mampu memberikan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini berdasarkan sokongan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan usaha mendaftarkan GRS diyakini mampu membawa kepada kestabilan politik tempatan di negeri ini.

“Lihat sahaja Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendapat sokongan rakyat di negeri itu yang mana gabungan itu bangkit dengan mencatat kemenangan besar 76 kerusi daripada 82 kerusi dalam PRN ke-12 lalu, ” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut memuji kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana telah mengangkat kesejahteraan rakyat termasuk pembangunan ke negeri ini walaupun berhadapan dengan cabaran akibat wabak pandemik COVID-19.

Beliau berharap kebijaksanaan dan kewibawaan Hajiji dapat mengangkat Sabah ke arah yang lebih baik menerusi hala tuju SMJ yang meliputi pelbagai aspek yang mampu memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat di negeri ini. – Utusan Borneo

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top