Daerah Menumbok Dilanda Dua Kali Banjir Kilat Dalam Seminggu

banjir-menumbok-1.jpg
Kongsi Bersama

MENUMBOK: Sekurang-kurangnya tiga kampung di daerah ini dilanda banjir menyebabkan banyak rumah penduduk ditenggalami air dan menyukarkan mereka untuk keluar rumah.

Lebih buruk lagi, kejadian ini merupakan banjir kali kedua dalam tempoh seminggu.

Setiausaha Umno Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Taib, berkata kampung yang terlibat ialah Kinanap, Darat dan padang golf dan banyak rumah telah ditenggelami air.

Abdul Rahman

Katanya, kampung-kampung berkenaan telah mengalami banjir minggu lepas dan hari ini ia sekali lagi ditimpa banjir.

Menurut beliau, pihaknya sudah menghubungi jurutera daerah Jabatan Kerja Raya daerah Kuala Penyu mengenai kejadian banjir itu agar tindakan segera  dapat diambil.

“Kita meminta mereka memeriksa dan memantau keadaan beberapa kalibut yang tidak mampu menampung air menyebabkan limpahan ke kawasan rumah penduduk terlibat,” kata Rahman.

Beliau menambah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan mencari jalan penyelesaian memandangkan terlalu kerap berlaku banjir di daerah ini terutama ketika musim hujan.

“Kita sangat sedih dan kasihan melihat keadaan penduduk apabila rumah-rumah mereka ditenggelami air dan terpaksa meredah air banjir hingga ke paras leher untuk keluar rumah,” tegasnya.

Beginilah keadaan banjir kilat yang melanda tiga kampung di Menumbok. Dan ia berlaku dua kali sepanjang minggu ini sahaja.

Sementara itu, penduduk melahirkan rasa kecewa kerana tiada kelibat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury atau pegawai-pegawainya untuk datang memantau masalah yang dihadapi penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Ariffin Said, berkata penduduk di Menumbok seolah-olah tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat berkenaan setiap kali ditimpa bencana.

“Penduduk baru saja berhadapan dengan situasi bekalan air yang sangat keruh dalam minggu ini dan kali ini ditimpa bencana banjir pula, memang sedih bertimpa-timpa,” katanya.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top