Dadah: KK, Keningau, Labuan Dan Tawau Kawasan Berisiko Tinggi

shahelmey-2.jpg
Kongsi Bersama

KARAMBUNAI : Usaha berterusan semua pihak adalah penting bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata ini termasuklah komuniti setempat terutamanya di kawasan berisiko tinggi (KBT).

Jelasnya, di Sabah KBT ialah di kawasan Kota Kinabalu, Keningau, Labuan dan Tawau.

“Kolaborasi di antara jabatan adalah sangat penting bagi membanteras isu serta masalah dadah di negeri ini khususnya.

“KBT di sabah telah mencapai tahap ‘stabilisasi’ dan menunjukkan kesediaan komuniti untuk mengambil tindakan lanjut dalam isu penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Bengkel Pendayaupayaan Komuniti Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Nexus Resort & Spa Karambunai anjuran Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) tengah hari tadi.

Hadir sama adalah, Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim dan Setiausaha Eksekutif PEMADAM Sabah, Josie Ansilmus.

Terdahulu, semasa majlis berkenaan, Shahelmey berkata usaha kesedaran perlu diteruskan bagi meningkatkan keupayaan dalam komuniti setempat menangani isu penyalahgunaan dadah.

“AADK bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan pencegahan kepada pemimpin komuniti, rakan strategik dan rakan pintar agar komuniti berupaya untuk melaksanakan program, dasar dan lain-lain perubahan yang dibangunkan kerajaan untuk mencapai komuniti bebas dadah,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 30 peserta menghadiri bengkel tersebut dengan melibatkan kawasan-kawasan KBT termasuklah dari daerah Kota Kinabalu,Keningau, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bengkel selama tiga hari itu adalah bertujuan memaksimumkan jalinan kerjasama antara agensi terlibat bagi mengekang penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top