Dadah: Ibu Tunggal 9 Anak Dijatuhi Hukuman Mati Mandatori

hukuman-mati.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.

Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho.

Sepanjang prosiding pendakwaan, pihak pendakwa menampilkan empat saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri. – AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top