PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup dadah ke Sabah.
Dalam pemeriksaan jam 2.30 petang 5 September lalu, kastam menemui 60 bungkusan plastik berwarna hijau dengan tulisan ‘Refined Chinese Tea’ yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Metamphetamine.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, tiga bungkusan itu diikrar sebagai alat ganti di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA Sepang.
Berat dadah itu dianggarkan 61 kilogram dengan nilai RM2 juta.
“Siasatan awal mendapati destinasi akhir ketiga-tiga bungkusan berkenaan ialah Kota Kinabalu, Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi 1-800-88-8855 atau ke Pejabat JKDM terdekat. – BHarian