KOTA KINABALU: Kegiatan tiga lelaki menyeludup masuk bekalan dadah ke negeri ini menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dikesan pihak polis melalui risikan secara berterusan, lapor Utusan Borneo.
Laporan itu menyebut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah sebagai berkata tindakan tiga lelaki itu juga membawa padah selepas ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar sini.
“Bertindak dengan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menahan suspek pertama berumur 37 tahun pada jam 2.45 petang 26 Januari lalu.
“Tangkapan di Jalan Ranggung Batek Likas itu juga berjaya merampas tujuh bungkusan dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 7.174 kilogram (KG),” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini semalam.
Mohd Zaidi berkata hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penahanan suspek kedua di hadapan sebuah dewan di Luyang.
“Hasil pendedahan suspek terbabit berjaya menahan suspek ketiga berumur 50 tahun di hadapan pusat beli belah di Alamesra kira-kira jam 2 petang keesokkan hari.
“Polis berjaya merampas 1.22 KG syabu di dalam beg silang suspek dan hasil pemeriksaan di rumah suspek di kawasan Bantayan Inanam berjaya menemukan syabu seberat 1.22 KG serta sekilo dadah jenis ketamin,” katanya.
Menurutnya kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM386,848 diperoleh melalui perkhidmatan kurier dan disembunyikan di dalam kotak santan.
“Suspek juga menggunakan alamat palsu pada bungkusan terbabit dan mengambil bungkusan di kawasan bebas.
“Kesemua suspek mengaku bergiat aktif dalam penjualan dadah sejak Disember 2021 bagaimanapun polis percaya kegiatan ini sudah lama dilakukan dan siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenalpasti suspek lain yang terlibat,” katanya.
Menurutnya dua daripada suspek masing-masing mempunyai enam dan tujuh rekod jenayah lampau mengikut kesalahan dadah.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.