D4 JSJ Sabah tahan empat lelaki punyai 49 rekod jenayah

criminal.jpg

Salah seorang suspek ditahan bersama kenderaan jenis sedan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dengan keseluruhan 49 rekod kes jenayah dalam tiga operasi berasingan, di sini, kelmarin.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, kesemua penjenayah yang ditahan berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.

Katanya, tangkapan berjaya dilakukan selepas siasatan terhadap kes terbaru membabitkan kejadian pecah masuk sebuah pasaraya di Putatan.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima daripada pengurus pasaraya berkenaan, pintu bilik juruwang dan peti besi dikesan dipecahkan sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM92,000 pada jam 9.30 pagi.

“Bertindak dengan maklumat, pasukan D4 menjalankan operasi di Kampung Tampulan, Manggatal dan berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 35 dan 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai sembilan dan 20 kes jenayah pecah rumah dan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Azmi berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis sedan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah sebelum itu.

Katanya, pasukan operasi kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Petagas, Putatan dan berjaya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun yang dipercayai mempunyai hubungkait dengan dua suspek sebelumnya.

“Ketika ditahan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri bagaimanapun, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek.

“Suspek ketiga yang berjaya ditahan turut didapati mempunyai 12 kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah dan kereta curi,” katanya.

Azmi berkata, susulan penahanan ini, pasukan operasi menyerbu sebuah bilik sewa di kawasan perniagaan Inanam dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Katanya, suspek dikesan mempunyai lapan kes jenayah lampau membabitkan pelbagai jenayah termasuk dadah serta mencuri.

“Berdasarkan siasatan, semua suspek yang ditahan sudah beberapa kali menjalani hukuman penjara disebabkan pelbagai kesalahan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Azmi berkata, polis juga akan cuba mengesan individu lain yang dipercayai rakan jenayah keempat-empat suspek. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top