KOTA KINABALU: Perayaan Kaamatan bukan sebahagian daripada kalendar akademik untuk 2022-2023.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Misterine Radin, pengecualian perayaan Kaamatan daripada kalendar akademik 2022-2023 adalah kerana cuti umum negeri tidak diambil kira dalam pengiraan hari persekolahan.
Beliau berkata bahawa amalan itu telah dipraktikkan sejak sekian lama.
“Ini bukan sahaja untuk Sabah, tetapi untuk negeri lain juga. Ini kerana pada 30 dan 31 Mei 2022, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menikmati percutian tetapi untuk tempat lain, ia adalah hari bekerja,” katanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan takwim akademik sesi persekolahan 2022/2023 bagi negeri dalam Kumpulan A bermula 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023.
Bagi sekolah di negeri Kumpulan B, sesi persekolahan juga akan bermula pada tarikh yang sama tetapi akan berakhir pada 12 Mac 2023.
Kumpulan A merujuk kepada negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B terdiri daripada negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, dan tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Labuan dan Putrajaya.
KPM dalam satu kenyataan juga berkata, penggal ketiga sesi persekolahan 2021/2022 bagi negeri-negeri dalam Kumpulan A akan bermula pada 2 Jan hingga 20 Mac 2022, manakala dalam Kumpulan B, dari 3 Jan hingga 20 Mac 2022.