Cuti panjang, musim perayaan beri limpahan rezeki kepada pengusaha inap desa Sabah

inap-desa.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penginapan berbentuk inap desa menjadi pilihan ramai pelawat terutama golongan berkeluarga yang mengambil peluang bercuti ke Sabah ketika musim cuti yang panjang, biasanya di hujung tahun.

Justeru, tidak hairan jika pengusaha inap desa mendapat permintaan tinggi pengunjung sehingga ada inap desa penuh ditempah, sekali gus memberikan limpahan rezeki kepada pengusaha sektor itu selain menjana ekonomi pengusaha restoran, warung serta masyarakat setempat.

Di LAHAD DATU, pengusaha inap desa Pulau Buta Eco Tourism Jessica Reyes berkata tempahan pada hujung tahun dan musim cuti sekolah sangat memberangsangkan, dengan tempahan itu diterimanya sebulan lebih awal.

“Pada bulan ini sahaja, hampir setiap hari kita menerima pengunjung dan ada juga yang tidak dapat bilik tetapi mereka memilih pergi ke glamping site atau kawasan perkemahan dengan kemudahan yang moden serta dihias cantik.

“Kami bersiap lebih awal, menambah stok cadar dan tuala kerana tahu pertambahan pengunjung yang begitu drastik. Saya bersyukur dengan rezeki hujung tahun buat Pulau Buta Eco Tourism,” katanya kepada Bernama.

Menurut Jessica selepas pandemik COVID-19, pertumbuhan sektor pelancongan khususnya domestik mendapat sambutan baik dan kesannya adalah menyeluruh, termasuk melibatkan industri makanan dan pengangkutan tempatan.

Di TAWAU, pengusaha Tawau Residence Homestay Siti Ros Palatui berkata terdapat permintaan tinggi untuk menginap di inap desa miliknya pada setiap kali musim cuti sekolah.

“Ini trend saya lihat saban tahun, untuk tempahan homestay saya di Taman Muhibbah Jaya serta Taman Semarak Indah, pelanggan kami ini ada dari Sandakan, Kota Kinabalu, Sarawak, Semenanjung Malaysia serta Brunei,” katanya.

Menurutnya kebanyakan pelanggan inap desa itu ke Tawau untuk bercuti, menghadiri majlis selain melawat keluarga di kampung yang sekali gus memberi impak positif kepada sektor ekonomi setempat lain termasuk restoran.

Di SANDAKAN, bagi Mariyana Lahiya yang mengusahakan Idaman Homestay di sini, inap desanya merupakan sebuah unit apartmen yang mampu menampung keluarga atau kumpulan sehingga 10 orang pada satu masa.

“Permintaan pada musim cuti sekolah memang tinggi, lebih-lebih lagi dalam bulan Disember ini bila kebanyakan masyarakat di Sabah dapat menikmati cuti hujung minggu dan cuti umum Krismas empat hari berturut-turut.

Mariyana mengakui inap desanya mempunyai keluasan terhad untuk menampung jumlah pelanggan yang ramai, namun pihaknya tidak berkompromi dalam memberi perkhidmatan selesa kepada pengunjung.

Katanya beliau sentiasa berhati-hati untuk menerima tempahan pelanggan agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan dan tidak menimbulkan masalah atau gangguan kepada penghuni apartmen lain.

Di RANAU, Pengerusi Persatuan Mesilou Atamis Homestay Kundasang Azizul Julirin berkata daerah itu mempunyai kira-kira 60 pengusaha inap desa aktif yang menawarkan lebih 260 bilik untuk pengunjung.

“Kami pengusaha inap desa di sini telah menerima tempahan awal, malah tempahan telah penuh ketika cuti Krismas ini sehingga Tahun Baru, kebanyakan yang datang terdiri daripada orang tempatan di Sabah sendiri, juga orang luar,” katanya.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top