Cuti bersalin 98 hari antara perubahan pada undang-undang buruh Sabah

CM-ordinan-buruh-sabah.jpg

Hajiji (tengah) ketika melawat reruai pameran jabatan dan agensi Kementerian Sumber Manusia selepas merasmikan sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong penuh pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (OBS) bagi memastikan rakyat dan masyarakat industri di Sabah dapat menikmati faedah dan peluang ekonomi yang lebih baik, setara dengan negeri-negeri lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, OBS dikuat kuasa bermula pada 1950 dan selepas 40 tahun, pindaan kali pertama kepada ordinan itu dibuat pada 2005.

Katanya, tempoh 19 tahun adalah satu tempoh yang lama dan sesuatu undang-undang itu perlu dikaji semula untuk ditambah baik terutamanya undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja dan keperluan majikan untuk menjalankan perniagaan.

Menurutnya, cadangan pindaan kali ini akan memberi faedah secara menyeluruh, adil dan saksama kepada setiap pekerja dan majikan, malah setara dengan perundangan yang ada di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, antara intipati penting pindaan kepada OBS kali ini termasuk liputan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, golongan bapa juga diberi cuti paterniti selama tujuh hari dan ia layak kepada semua isteri yang sah tetapi untuk lima anak pertama sahaja dan waktu kerja minggu dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

“Pindaan pada kali ini melibatkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal melibatkan 75 peratus keseluruhan OBS. Justeru, saya dan barisan kepimpinan negeri, meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) agar cadangan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan OBS kali ini dapat dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

“Ia juga supaya dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk dinikmati faedahnya oleh warga pekerja dan majikan di Sabah,” jelasnya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di sini semalam.

Hajiji turut yakin, pindaan OBS akan dapat menaikkan imej Sabah di peringkat antarabangsa terutamanya berkaitan dengan isu-isu hak kemanusiaan dan hak pekerja, isu penghapusan diskriminasi dan juga isu membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Katanya, pindaan itu juga akan memudahkan Malaysia khususnya Sabah untuk meneroka dan menembusi pasaran yang lebih besar melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk menarik lebih banyak pelabur serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Sabah.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi memastikan kebajikan pekerja dan majikan sentiasa diutamakan, kerajaan negeri menyokong penuh penubuhan Majlis Penasihat Buruh peringkat negeri Sabah.

Menurutnya, Majlis Penasihat Buruh Sabah terdiri daripada 16 wakil kesatuan sekerja dan 16 wakil persatuan majikan terbesar mewakili seluruh pekerja dan majikan yang ada di negeri Sabah.

Selain itu katanya, pihak kerajaan pula terdiri daripada 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berperanan dan bertanggungjawab kepada isu-isu perburuhan negeri.

“Kerajaan negeri meletakkan harapan yang tinggi agar melalui majlis ini setiap keputusan dasar dan perundangan yang dibuat oleh kerajaan, akan mengambil kira sepenuhnya, situasi sebenar yang berlaku di negeri ini.

“Majlis ini juga akan menjadi platform untuk menyalurkan pandangan dan nasihat serta cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan.

“Ini juga bagi memastikan dasar-dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemahkan dengan lebih tepat dan saksama,” jelasnya.

Hajiji juga mahu setiap perancangan KESUMA termasuk latihan kemahiran kepada pekerja dan pencari kerja, dibawa untuk dilaksanakan di Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Saya berharap agar kesemua inisiatif dan program pembangunan modal insan yang dilaksanakan KESUMA turut memberi keutamaan dan tumpuan kepada pekerja, majikan serta rakyat di Sabah.

“Ini bagi memastikan Sabah juga setaraf dengan pencapaian negeri-negeri lain. Selain itu, semua program itu juga selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri Sabah, melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Hajiji berkata, industri memerlukan undang-undang yang bukan sahaja menjaga kebajikan pekerja dan kemudahan menjalankan perniagaan oleh majikan, tetapi dapat mengadaptasi keperluan revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi.

Katanya, transformasi digital turut mewujudkan jenis pekerjaan baharu seperti ‘Gig Worker’ yang memerlukan satu perundangan yang membolehkan industri dapat bergerak seiring dengan perubahan berkenaan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top