KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya perlu memastikan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak mencukupi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membekalkan elektrik ke selatan Filipina.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, geografi dua negeri itu yang luas telah menimbulkan kesukaran dalam jaringan perhubungan bagi membekalkan elektrik kepada pengguna.
“Kalau jaringan perhubungan pun susah, elektrik pun akan menjadi isu. (Ia) dipanggil ketidakseimbangan pembangunan fizikal. Di antara faktor-faktornya ialah jalan, api dan air. Ini tiga perkara yang paling penting.
“Jadi kalau semua kawasan di Sarawak tu dah cukup bekalan elektrik, bolehlah jual. Saya pun tak nampak dekat mana rasionalnya (bekal elektrik ke Filipina),” katanya ketika diwawancara Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut dalam pada itu mencadangkan agar kerajaan memperkasakan gas asli bersama sumber hidrogen sekiranya bekalan tenaga elektrik di dua negeri itu benar-benar mencukupi.
“Kita dimaklumkan sekarang ini akan ada perjanjian gas sebab PETROS akan menjadi ‘aggregator gas’ untuk Sarawak. Jadi dia mengganggu bisnes PETRONAS. Ada syarat-syarat yang dikenakan.
“Jadi kalau dah cukup elektrik, gas itu untuk apa? Timbul persoalan. Sekarang dia nak minta supaya PETRONAS bagi ‘certain number of gas’ kepada Sarawak. Sama ada dia nak jual gas dalam bentuk LNG (gas asli cecair) ataupun untuk elektrik.
“Maknanya kalau elektrik dah cukup, tak perlulah ambil gas itu. Buatlah benda lain, tak terganggulah bisnes PETRONAS sebab PETRONAS ni mereka jual LNG kepada Korea dan Jepun.
“Menyebabkan pendapatan-pendapatan itu dapat ke PETRONAS, dapat beri peluang pekerjaan kepada orang Sarawak di PETRONAS, dapat beri biasiswa dan juga bantuan pendidikan kepada orang Sarawak.
“Duit itu juga diberikan kepada negara melalui ‘taxation’, dividen, royalti dan sebagainya. Jadi penting untuk kita menjaga Petronas sebagai sebuah GLC yang mempunyai kewangan yang kukuh untuk membantu negara,” katanya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bulan lalu meminta kerajaan Sarawak untuk membekalkan lebihan tenaga elektriknya ke selatan Filipina melalui Sabah bermula tahun depan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tenaga elektrik itu akan dihasilkan dari loji Janakuasa Kitaran Gabungan Turbin Gas berkapasiti 500 Megawatt (MW) di Miri, serta tiga loji lain dengan kapasiti gabungan 1,500 MW di Bintulu.
“Lebihan bekalan (elektrik) kita hantar ke Sabah, Perdana Menteri meminta kita hantar dari Sabah ke bahagian selatan Filipina, maknanya, kita membekalkan tenaga untuk ASEAN. Inilah kekuatan kita.
“Maknanya, ia mampan. Jika ini kekuatan kita, maka ia akan menyumbang kepada grid tenaga ASEAN,” katanya. – HARAKAHDAILY