Cukai Petroleum Legasi Peninggalan Shafie, Kata Adun Merotai

sarifuddin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hasil cukai jualan ke atas produk petroleum merupakan legasi peninggalan pentadbiran Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang akan dinikmati rakyat Sabah sampai bila-bila.

Bermula tahun depan, Sabah akan menerima hasil cukai berkenaan sebanyak RM1.25 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai Sarifuddin Hata berkata, walaupun tempoh pemerintahan Warisan Plus hanya dua tahun lebih, namun terbukti Shafie berjaya menuntut hak rakyat Sabah yang dapat digunakan untuk membangunkan negeri ini sehingga generasi seterusnya.

“Dalam pembentangan Belanjawan Sabah 2021, Ketua Menteri ada menyatakan hasil ini bernilai RM1.25 bilion, inilah yang diperjuangkan Shafie sejak mengambil alih pemerintahan.

“Walaupun ada pihak yang mempersoalkan pentadbiran Warisan Plus, seluruh rakyat Sabah kini boleh melihat bagaimana kejayaan Shafie memastikan Sabah menikmati wang daripada hasil bumi ini.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bersyukur kerana tanpa Warisan Plus mereka tidak akan dapat mentadbir Sabah dengan hasil kewangan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pada Jumaat lalu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cukai petroleum memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Sabah dengan iaitu kira-kira 27.9 peratus.

Katanya, cukai jualan ke atas produk petroleum negeri ini dibentangkan di DUN Sabah pada akhir tahun 2018 semasa Warisan Plus memerintah dan diluluskan.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan cukai berkenaan hanya bermula April tahun ini selepas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merampas Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH) enggan melaksanakan komitmen menunaikan hak-hak Sabah di bawah pentadbiran Warisan Plus.

Sarifuddin berkata, selain hasil cukai berkenaan, Shafie juga mewariskan pemerintahan Kerajaan Sabah tanpa hutang kepada GRS.

Tegas Sarifuddin, sewaktu mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Tan Sri Musa Aman, Kerajaan Sabah berhutang sebanyak RM1 bilion.

“Hutang ini membebankan keupayaan kewangan Sabah tetapi Shafie yang mewarisi pentadbiran lalu tidak merungut walaupun kita tidak tahu ke mana hilangnya RM1 bilion itu dibelanjakan.

“Shafie sebaliknya fokus mencari hasil, melakukan penjimatan dan menambah baik pentadbiran sehingga hutan itu berjaya dibayar pada penghujung 2019.

“Tanpa mantan Ketua Menteri yang berdedikasi seperti Shafie, kewangan Sabah tidak akan sebaik hari ini, saya harap perkara ini akan menjadi pertimbangan rakyat untuk memilih pemimpin selepas ini,” katanya. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top