CUEPACS Tolak Skim Pengeluaran KWSP, Elak Pencarum ‘Miskin’ Di Hari Tua

adnan-mat-cuepacs.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menghentikan kemudahan skim pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan sebelum ini bagi mengelak pencarum sengsara di hari tua, kata Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya pada awalnya bersetuju pengeluaran KWSP dibuat, bagaimanapun selepas ekonomi negara kembali pulih dan kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan pergerakan, selain rakyat kembali boleh melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing, kebenaran menggunakan simpanan hari tua tidak lagi perlu.

“Tambahan pula, data daripada KWSP yang memaklumkan 50% ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan memberi kesan yang lebih besar, sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.

“Matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya, kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS bimbang statistik KWSP yang sebelum ini menyatakan kira-kira 50% pencarum memiliki simpanan kurang RM10,000 dan hanya boleh berbelanja RM42 sebulan bagi tempoh 20 tahun selepas persaraan.

“Kita tidak mahu kesannya menjadi lebih berpanjangan pada hari tua kelak kerana sepatutnya pesara ini harus hidup dengan lebih sejahtera. CUEPACS tidak bersetuju sekiranya masih ada lagi cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang KSWP memandangkan lebih RM100 bilion telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Katanya, sehingga kini kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan menghentikan skim pengeluaran caruman KWSP, sebelum ahli mencapai usia persaraan 60 tahun. – FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top