KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan kerajaan untuk menswastakan penyediaan makanan kepada pesakit di tiga hospital kerajaan di negeri ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan itu sudah diteliti bagaimanapun mendakwa Cuepacs tidak pernah dipangggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sesi libat urus sebaliknya diarahkan menyediakan maklumat kepada pihak syarikat untuk mereka buat cadangan penswastaan.
Katanya, sistem penswastaan dilakukan secara kluster melibatkan tiga hospital di negeri ini iaitu Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), HQE II dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang diberikan secara ‘direct award’ kepada satu syarikat.
Adnan berkata, 79 penjawat awam antara lain terdiri jurusaji dan penolong pegawai penyediaan makanan akan terjejas, sekiranya cadangan penswastaan itu diteruskan.
Katanya satu surat telah dikeluarkan oleh sebuah kementerian pada 11 Jan lepas berhubung cadangan kerajaan untuk menswastakan penyediaan makanan di hospital terbabit, susulan terdapat permohonan daripada sebuah syarikat swasta untuk mengambil alih perkhidmatan itu di hospital kerajaan melalui surat pada 22 Dis 2021.
“CUEPACS telah meneliti cadangan itu. Bagaimanapun, kami tidak pernah dipanggil oleh kementerian atau kerajaan untuk mengadakan sesi libat urus, sebaliknya kami diarahkan untuk menyediakan semua maklumat kepada syarikat terbabit untuk membuat cadangan penswastaan tersebut. Ini amat tidak munasabah.
“Sepatutnya kita membuat penyegaran perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, dan kerajaan tidak seharusnya melihat dalam konteks keuntungan semata-mata. Ini tidak memberi penambahbaikkan kepada anggota perkhidmatan awam khususnya dalam bentuk kebajikan,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.
Adnan berkata penyumberan luar dalam penyediaan makanan kepada pesakit di tiga hospital itu juga, dilihat tidak memberi impak kepada perkhidmatan makanan kerana sistem bakal yang diperkenalkan tidak sistematik, kerana makanan akan disediakan di luar premis hospital kira-kira 10 hingga 15 kilometer.
Katanya lagi, perkhidmatan makanan adalah penting dalam sistem kesihatan, kerana ia merupakan antara elemen untuk membantu proses penyembuhan dan perawatan pesakit, menerusi penyediaan makanan sihat, selamat dan berkualiti mengikut garis panduan serta diet manual ditetapkan.
Menurutnya, penjawat awam sedia ada bertugas di unit sajian dan dietetik di hospital terbabit berkeupayaan memberi perkhidmatan terbaik, selain perkhidmatan penyediaan makanan sedia ada juga telah menunjukkan prestasi yang diiktiraf dengan pensijilan kawalan kualiti.
Beliau berkata CUEPACS telah membuat kajian berhubung cadangan penswastaan tersebut, yang kini sedang dalam proses rumusan sebelum dibawa kepada perhatian pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Kami diberi tempoh dua minggu untuk mengumpul dan merumuskan kajian itu. Ada dua laporan disediakan iaitu jika diswastakan dan jika tidak diswastakan. Pada asasnya, kami menolak dan kerajaan perlu membuat sesi libat urus supaya kami boleh memberi penjelasan kenapa penswastaan ini tidak diperlukan.
Sementara itu, Adnan berkata CUEPACS mahu kerajaan membuat pertimbangan memberi cuti kuarantin khas kepada penjawat awam, terutama petugas kesihatan yang didapati positif COVID-19 sebagai usaha memutuskan rantaian wabak berkenaan.
Adnan berkata tidak ada cuti khas diberikan kepada penjawat awam dalam kalangan petugas kesihatan buat masa ini, dan beliau mendakwa terdapat situasidi mana mereka masih diarahkan bertugas walaupun telah didapati positif COVID-19.
“Ini adalah satu yang agak luar biasa, tetapi sebagai penjawat awam kami patuh. Bagaimanapun, kami melihat dalam konteks lebih besar supaya rantaian COVID-19 diputuskan. Justeru, arahan bekerja kepada mereka yang didapati positif COVID-19 adalah amat tidak munasabah,” katanya.