CUEPACS mohon naikkan gaji penjawat awam RM300

adnan-mat-cuepacs.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: CUEPACS memohon kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM300 dalam pembentangan Belanjawan 2024 bulan depan, selain bonus minimum satu bulan setengah, yang kali terakhir diterima pada 2012.

Presidennya, Datuk Adnan Mat (gambar), berkata kenaikan gaji itu perlu bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa dan boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta melegakan mereka sementara menunggu sistem saraan baharu dilaksana pada 2025.

Katanya, CUEPACS juga berharap Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pemberian bonus minimum satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam menerusi belanjawan bakal dibentang 13 Oktober nanti.

“Kali terakhir penjawat awam menerima bonus satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 adalah pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

“Sudah lama penjawat awam menunggu perkataan ‘bonus’, tetapi ia tidak kunjung tiba walaupun sudah lebih 11 tahun menunggu,” katanya dalam satu kenyataan semalam (Rabu).

Mengakui CUEPACS memahami kekangan kerajaan, beliau berkata, penjawat awam juga pada masa sama memerlukan ihsan kerajaan dengan insentif sedemikian bertujuan meningkatkan motivasi mereka dalam pekerjaan.

Selain itu, CUEPACS memohon kerajaan memberikan diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam, sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan kerana gaji bersih kakitangan kerajaan akan sedikit meningkat.

Katanya, CUEPACS turut memohon kerajaan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen yang bakal diterima penjawat awam apabila bersara.

“Ketika ini, pengiraan pencen penjawat awam terhad kepada 360 bulan atau 30 tahun tempoh perkhidmatan. Bagi tempoh perkhidmatan lebih 30 tahun, pengiraan pencen bulanan diambil terus 60 peratus daripada gaji pokok akhir atau tiga perlima daripada gaji pokok akhir.

“Situasi ini mengakibatkan mereka yang berkhidmat lebih 30 tahun tidak dapat menikmati jumlah maksimum pencen berdasarkan perkhidmatan. Pengiraan baharu mampu meningkatkan kualiti hidup pesara kerajaan yang sudah memberi khidmat terbaik mereka.

“CUEPACS yakin Perdana Menteri boleh melihat perkara ini melalui Bajet 2024,” katanya.

 

Berita asal: BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top