KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menerima ratusan laporan mengenai ular di kawasan perumahan dan perniagaan sejak Januari lalu, dengan Kota Kinabalu mencatatkan paling banyak kes iaitu 71 pada Januari dan 64 kes pada Februari.
Penolong Pengarah Operasi Dan Sekreteriat APM Sabah, Mejar Zico Sual berkata secara keseluruhan pihaknya menerima 452 kes pada Januari dan 376 kes pada Februari.
Menyusul selepas Kota Kinabalu sebagai daerah yang paling banyak kes ialah Paitan dengan 36 kes pada Januari dan 28 pada Februari, Tawau (25 pada Januari dan 23 pada Februari), manakala Sandakan mencatat jumlah kes yang sama bagi Januari dan Februari iaitu 2 kes.
Di Tungku 23 kes dilaporkan pada Januari dan 19 kes pada Februari, Pitas (21 pada Januari, 15 pada Februari, Kota Belud masing-masing 19 kes pada Januari dan Februari, Kota Marudu (19 pada Januari dan 17 pada Februari), Tuaran ( masing-masing 18 kes untuk kedua-dua bulan), Keningau (15 pada Januari dan 7 pada Februari), Lahad Datu (16 pada Januari dan 14 pada Februari), diikuti oleh Kinabatangan 13 kes pada Jan danuari 10 pada Februari.
“Terdapat juga kes dilaporkan di Beaufort, Penampang, Semporna, Kudat, Telupid, Papar, Ranau, Tenom, Kunak, Kuala Penyu, Tongod, Sipitang, Kalabakan, Beluran, Tambunan, Nabawan, Putatan, Felda Sahabat, Menumbok, Matunggong, Pulau Banggi, Pulau Sebatik, Kundasang dan Tamparuli,” kata Zico.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam semua kes yang diterima ini, katanya.
Dengan musim panas yang dijangka berlarutan selama beberapa bulan, beliau menasihatkan penduduk dan pemilik premis supaya lebih berhati-hati dengan persekitaran mereka kerana ular akan memilih kawasan yang sejuk dan teduh untuk bersembunyi daripada matahari.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada mengendalikan sendiri reptilia itu, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan