Covid-19: Thailand Jangka 45,000 Kes Harian Pada Awal September

covid-thai.jpeg
Kongsi Bersama

Pihak Berkuasa Thailand menjangkakan jumlah kes harian jangkitan Covid-19 akan meningkat dua kali ganda menjadi 45,000 kes bermula awal bulan depan.

Walaupun negara tersebut telah melaksanakan beberapa sekatan dan perintah penutupan, namun Kementerian Kesihatan Awam Thailand menggesa orang ramai untuk kekal berada di rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Negara itu kini sedang bergelut dengan lonjakan kes sejak seminggu lalu, dengan purata 20,000 jangkitan baharu dan lebih 180 kes kematian yang dilaporkan sehari berbanding 70 kes baharu sejak lima bulan lalu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, kementerian itu melaporkan 22,086 kes baharu Covid-19 manakala kes kematian meningkat kepada 217 pesakit.

Pasukan petugas memaklumkan, sekatan perjalanan dan pelbagai tindakan semasa yang dilakukan selama sejak sebulan lalu masih belum mampu menurunkan kes jangkitan Covid-19 di negara itu.

Semalam, terdapat 23,418 kes baharu diumumkan menjadikan kumulatif kes sebanyak 863,189 dengan 7,126 kes kematian.

“Penutupan dan sekatan yang dilaksanakan telah berkesan hampir 20 peratus tetapi kes jangkitan tetap meningkat, kebarangkalian kes mencecah sehingga 45,000 sehari pada awal atau pertengahan bulan September mungkin akan berlaku,” kata jurucakap kementerian itu, Taweesin Wisanuyothin.

Melalui data Kementerian Kesihatan, sekiranya keberkesanan penutupan dan sekatan yang dilaksanakan itu mencapai lima peratus dan kebanyakkan kumpulan sasar diberikan vaksin secepat mungkin, angka 20,000 kes sehari akan kekal selama dua bulan lagi.

Sebelum ini, Thailand telah berjaya membendung penyebaran wabak Covid-19 selama hampir setahun namun, gelombang terbaru didorong varian Alpha dan Delta menyebabkan penularan jangkitan semakin teruk, sementara tahap vaksinasinya masih rendah.

Penularan kes ini telah memberikan tekanan kepada perkhidmatan kesihatan di ibu kota Bangkok yang melaporkan 5,140 jangkitan baharu semalam.

Sebanyak 129,000 pesakit telah dirawat di wilayah itu sejak Julai lalu dan kerajaan akan berusaha untuk menambah kelengkapan bilik rawatan bagi menampung jumlah pesakit Covid-19, jelas Taweesin.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha akan bertemu dan berbincang dengan pasukan petugas pada Isnin ini untuk melaksanakan beberapa langkah bagi memerangi penyebaran virus ini, katanya lagi. – Agensi


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top