COVID-19: Terminal Feri Labuan Alami Penurunan Jumlah Penumpang Pada Musim Krismas

feri-labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, dua terminal feri Labuan kali ini menyaksikan penurunan dalam jumlah penumpang yang ingin ke Sabah sempena sambutan Hari Krismas dan cuti sekolah hujung tahun sejak awal minggu ini, dipercayai susulan kos saringan dan kuarantin wajib COVID-19 yang dianggap membebankan.

Lima buah feri iaitu Putrajaya 1, Kimanis 1, Joy Star, Goodwill dan Galaxy beroperasi pada separuh kapasiti meskipun pulau bebas cukai itu kini diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) .

Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri Ro-Ro Labuan yang selalunya sesak setiap kali tiba musim perayaan dengan kehadiran beribu-ribu penumpang yang ingin bercuti atau kembali ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, suasana di terminal itu bertukar wajah apabila lebih ramai memilih untuk berada di Labuan bagi sambutan Hari Krismas kali ini.

Pengerusi Labuan Mainland Link Sdn Bhd Datuk Chin Hon Vui berkata punca utama jumlah penumpang yang ingin pulang ke Sabah berkurangan ialah kerana kos ujian saringan COVID-19 yang tinggi iaitu mencecah hampir RM500 seorang.

“Kami menerima maklum balas daripada orang ramai di sini bahawa mereka memilih untuk menyambut Krismas di Labuan kerana mereka tidak mampu membiayai kos ujian saringan COVID-19 semasa masuk dan keluar Labuan.

“Sebagai contoh, jika sekeluarga tiga beranak memilih untuk menjalani ujian itu di klinik swasta, mereka terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM2,000 (untuk melakukan ujian berganda)… klinik kerajaan hanya mengenakan bayaran sebanyak RM61 namun kapasitinya adalah terhad,” katanya.

Klinik Family Care di Labuan mengesahkan bahawa bayaran ujian saringan RTK-Ag COVID-19 ialah RM280 untuk dewasa dan RM140 bagi kanak-kanak (0-12 tahun).

Chin turut mendedahkan bahawa feri di bawah Labuan Mainland Link kini terpaksa bergelut untuk menampung kos operasi kerana jumlah penumpang atau kenderaan yang semakin berkurangan turut bermakna pendapatan juga semakin berkurangan.

“Kami perlu membenarkan kesemua feri terus beroperasi kerana orang ramai menggunakannya untuk mengangkut barang dan sayur-sayuran ke pulau itu setiap hari,” katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari pula melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 susulan ketibaan ramai pengunjung yang ingin bercuti ke Sabah.

“Jika mereka yang kembali ini terus tidak mengendahkan pematuhan prosedur operasi standard dan gagal mengamalkan gaya hidup norma baharu, Labuan akan mempunyai kluster baharu serta menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan virus itu sama seperti yang pernah kita alami selepas pilihan raya negeri Sabah,” katanya. -Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top