COVID-19: Sabah Wajibkan Ujian Ke Atas Pengunjung Dari China

masidi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua pengunjung dari China yang memasuki Sabah wajib menunjukkan keputusan negatif COVID-19, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kerajaan Sabah juga menetapkan pengunjung dari China perlu melakukan ujian COVID-19 dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas ke negeri itu.

“Kerajaan Sabah hari ini memutuskan, semua orang yang masuk ke negeri ini dari China hendaklah mempunyai keputusan negatif COVID-19 dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test, PDT) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kenyataan itu menyusul berikutan kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 di China dan pembukaan sempadan oleh negara itu, yang mungkin menularkan wabak itu ke negara ini.

Kes COVID-19 di Sabah ketika ini dilihat berada pada tahap yang stabil, dengan kes harian hanya satu atau dua angka.

Hari ini, sebanyak 15 kes baharu iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam dengan kadar positiviti 1.22 peratus, berbanding 0.72 peratus semalam.

Masidi berkata, sembilan daerah merekodkan jangkitan baharu, dengan tiga kes di Kota Belud dan Penampang, diikuti dua kes di Kota Kinabalu dan Sipitang serta masing-masing satu kes di Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau, Telupid dan Tuaran.

Sebanyak 18 daerah lain tidak merekodkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Daripada 15 kes yang dilaporkan, 13 kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top