Covid-19: Sabah Contohi Pusat, Adakan Taklimat Media Harian

masidi-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membuat keputusan untuk mencontohi kerajaan pusat dengan mengadakan taklimat media harian bagi memaklumkan perkembangan semasa wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang merupakan jurucakap Covid-19 kerajaan berkata, taklimat itu akan bermula hari ini dan diadakan di pejabat beliau pada pukul 6.30 petang atau pada masa sesuai.

Keputusan itu dibuat susulan negeri itu merekodkan bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi, dengan 451 kes baru dan 4 kematian dilaporkan pada Sabtu.

Jumlah kumulatif kes adalah 6,737, dengan 2,596 sembuh dan 4,086 masih menerima rawatan.

Masidi menggesa rakyat supaya bersikap tenang dan tidak panik walaupun kes harian masih tinggi di Sabah.

“Peningkatan kes juga adalah hasil daripada peluasan saringan di lapangan, selain saringan bersasar di kawasan jangkitan dalam 11 daerah zon merah, iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar dan Kota Belud,” katanya.

“Kerajaan meminta kerjasama individu yang tidak menunjukkan simptom dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 supaya segera menjalani proses saringan di hospital atau klinik di kawasan masing-masing.”

Masidi berkata, 42,590 bakul makanan diedarkan kepada kumpulan sasaran setakat semalam.

Keputusan untuk mengadakan taklimat harian itu tidak menepati gesaan banyak pihak agar negeri itu mewujudkan semula portfolio menteri kesihatan yang pernah ada dalam kerajaan sebelum ini.

Pada Jumaat, pakar perubatan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melantik seorang menteri khusus untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan kesihatan di negeri itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top