KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 562 kes baharu Covid-19 hari ini, turun sebanyak 199 kes berbanding kelmarin (761).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ini merupakan angka terendah yang dicatatkan sejak 24 Julai 2021.
Katanya, sejajjar dengan trend penurunan kumulatif harian kes yang agak besar, bilangan daerah yang mencatatkan penurunan kes juga adalah lebih banyak daripada daerah yang mencatat peningkatan kes harian.
“Sejumlah 18 daerah mencatat penurunan dan 8 daerah mencatatkan peningkatan kes, sementara 1 daerah kekal dengan catatan sebagaimana semalam.
“Tidak ada daerah yang mencatatkan angka jangkitan baharu 3 angka hari ini dan hanya daerah Beluran yang mencatatkan peningkatan kes pada julat 2 angka.
“Beberapa daerah lain menunjukkan penurunan kes yang agak signifikan iaitu Kota Belud (-36 kes), Kota Kinabalu (-35), Tuaran (-34), Tenom (-26), Kota Marudu (-14), Tambunan (-14), Ranau (-13) dan Lahad Datu (-11),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Jelasnya, faktor luaran yang menjadi pembolehubah dalam mempengaruhi angka jangkitan setiap hari tidak boleh diramal dengan tepat kerana masih terdapat kes yang didaftar lewat sehingga 5 hari dan seterusnya.
“Sebagai misalan Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 65 kes yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, Penampang sebanyak 24 kes, Papar 27 kes, Ranau 19 kes dan Tenom 22 kes,” ujar beliau.
Masidi berkata, seperti yang kerap diperingatkan, kejayaan mengawal penularan baru yang akan mengakibatkan peningkatan kes banyak berkait-rapat dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap semua SOP yang berkuatkuasa.
*Secara perbandingan peratusan kes yang dicatat melalui saringan bergejala kekal tingggi, hampir 34%. Ini satu peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti virus Covid-19,” katanya.
Katanya, jumlah kes secara keseluruhan pada hari ini ialah 562 kes, tetapi kes sebenar yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam lepas hanyalah 294 kes, yakni 52.31% daripada jumlah kumulatif kes hari ini.
“Pesakit kategori dua kekal kumpulan terbesar, hampir 79% (443), manakala kategori satu, 14.8% (83), kategori tiga, 4 orang dan kategori empat dan kategori lima, masing-masing 3 orang pesakit. 25 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.