KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan 1,600 kes baharu COVID-19 dengan dua lagi kluster dikenal pasti.
Ini menjadikan kenaikan kes hari ini adalah 315 berbanding semalam (1,285), manakala jumlah dua kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 26.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bilangan kes baharu di hampir semua daerah juga semakin meningkat.
Katanya, terdapat empat daerah dengan kes baharu tiga angka iaitu Kota Kinabalu 371 kes (+62), Sandakan 322 kes (+121), Tuaran 150 kes (kekal) dan Penampang 138 kes (+30).
“Sejumlah 15 daerah mencatatkan kes dua angka, enam daerah mencatatkan kes satu angka dan hanya dua daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu,” kata beliau yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurutnya lagi, sejumlah 1,587 dari 1,600 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lapan kes dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan tiada kes direkodkan dalam Kategori 5.
Daripada 26 kluster aktif pula hanya enam kluster yang merekodkan kes positif baharu berjumlah 27 kes pada hari ini.