KUALA LUMPUR: Langkah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya sia-sia jika tiada perubahan drastik terhadap strategi kesihatan awam.
Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan perlu menyusun semula pendekatan menangani COVID-19.
Katanya, langkah itu perlu kerana usaha pembendungan wabak berkenaan ketika ini mencerminkan siri kegagalan yang berpunca daripada beberapa faktor.
“Pertama, kita perlu tukar kaedah saringan kerana dimaklumkan kes melambung semalam disebabkan wujud data ‘backlog’ (tertunggak) menjangkau 10 hari.
“Justeru, masalah ini sudah pasti berpunca daripada kaedah saringan yang masih bersandarkan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).
“RT-PCR memerlukan tempoh lama untuk keputusan diperoleh, berbanding kit ujian pantas (RTK) antigen, sekali gus menyumbang kepada timbunan data.
“Sekiranya ini terus berlaku, kita tidak dapat merangka strategi kesihatan awam dengan tepat kerana wujud kepincangan maklumat pada peringkat dasar,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Kes COVID-19 di Malaysia semalam mencetuskan kebimbangan apabila jumlah positif ‘melambung’ sehingga 5,725 kes, iaitu yang tertinggi setakat ini.
Berdasarkan pecahan kes, Selangor kekal menjadi penyumbang utama dengan 3,126 kes atau 54.6 peratus daripada keseluruhan individu positif.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas COVID-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini dilaporkan berkata, peningkatan kes di Selangor berikutan data tertunggak sehingga menjangkau tempoh 10 hari.
Sazaly berkata, semakan semula kelonggaran untuk sektor ekonomi berfungsi harus dibuat bagi mengelak ia menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes COVID-19.
“Sekarang ini masalah sektor ekonomi seperti perkilangan, pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada tenaga buruh asing menjadi penyumbang utama COVID-19, tetapi dibenarkan beroperasi.
“Apabila mereka ini habis kerja dan kembali ke komuniti, sudah pasti penularan berlaku dengan pantas dan kita selama-lamanya kekal berada di takuk lama tanpa sebarang penyelesaian menyeluruh.
“Jadi, teliti semula supaya sektor ekonomi seperti warung terbuka, kedai gunting rambut dan lain-lain yang tidak menyumbang kepada penularan COVID-19, dibenarkan beroperasi,” katanya.
Sementara itu, pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng, pula berkata PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara pelbagai langkah untuk membendung COVID-19.
Beliau berkata, kerajaan dan agensi berkaitan tidak sewajarnya meletakkan sandaran sepenuhnya kepada PKP atau PKPB untuk memelihara kesihatan rakyat.
“Ia langkah wajar pada permulaan wabak. Niat PKP untuk memberi sedikit masa memperkuatkan sistem kesihatan negara dan mengelakkan kesesakan di hospital.
“PKP tidak boleh digunakan selama-lamanya. Lebih penting daripada PKP ialah rancangan jangka panjang untuk Malaysia, namun sehingga kini ia belum diumumkan kerajaan.
“Rancangan ini perlu merangkumi strategi ujian saringan, pengesanan kontak, dasar pengasingan di rumah dan pendidikan awam.
“Tanpa rancangan jangka panjang ini, Malaysia akan selalu bertindak balas secara jangka pendek dengan PKP,” katanya. – bharian