COVID-19: Peningkatan Kes Positif Perlu Dijadikan ‘Wake-up Call’

ismail-tawau.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Negeri Sabah masih lagi mencatatkan angka harian kes positif COVID-19 yang sangat membimbangkan dan perlu mengambil serius terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Pada Rabu, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,593 orang manakala di Sabah pula peningkatan bilangan kes juga berlaku kepada 405 orang.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) Ismail Awang berkata, trend kes positif wabak di Sabah masih tidak berubah dan tiada tanda skala kes COVID-19 ini akan landai.

“Rekod taburan 14 hari kes positif di Sabah bermula 23 Disember 2020 sehingga 5 Januari 2021 lalu mencecah 3,575 kes dan ini perlu dipandang serius.

“Peningkat harian ini perlu dijadikan ‘wake-up call’ oleh seluruh rakyat Sabah untuk lebih berjaga-jaga kerana ianya juga menunjukkan bahawa penularan kes COVID-19 ini masih tidak terkawal,” katanya.

Ismail menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Sabah supaya terus mematuhi dan melaksanakan setiap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Kita tidak boleh leka dan sambil lewa dalam pematuhan SOP, walaupun pihak kerajaan telah memberikan kelonggaran didalam beberapa aktiviti termasuk kebenaran rentas daerah.

“Kelonggaran itu bukan alasan untuk kita tidak mengamalkan kehidupan norma baharu kerana ianya dibuat bagi merancakkan dan meningkatkan semula sektor ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat yang sudah semakin kurang sikap peduli di dalam pematuhan SOP dan ada pihak juga mungkin berkeyakinan vaksin akan diperolehi sedikit masa lagi.

“Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak peka dan melanggar SOP kerana kita perlu prihatin serta bersimpati dengan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus setiap hari mengekang penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, kelekaan dan kelalaian sudah tentunya akan menyusahkan petugas barisan hadapan dan tidak mustahil jika peningkatan terus berlaku kelonggaran akan ditarik balik oleh pihak kerajaan demi mengekang penularan wabak.

“Kita terpaksa akan menghadapi sekatan jalan raya (SJR), tidak boleh merentas daerah dan tidak boleh sesuka hati keluar rumah tanpa ada alasan yang kukuh.

“Oleh itu, sekiranya tidak mahu perkara itu berlaku lagi, semua rakyat Malaysia harus terus menanamkan rasa tanggungjawab menjaga keselamatan diri dan mengikuti semua SOP yang telah digariskan,” katanya.

 

Baca seterusnya di utusan borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top