Kota Kinabalu merekodkan jumlah baharu kes Covid-19 tertinggi di Sabah semalam dengan 56 kes, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata peningkatan kes itu disebabkan oleh penularan daripada satu kluster sedia ada.
“Kota Kinabalu masih lagi daerah dengan catatan kes tertinggi iaitu 56 kes atau hampir satu per lima daripada jumlah kes di negeri Sabah.
“Kluster Bahtera Kinabalu menyumbang 20 kes baharu bagi daerah terbabit. Sabah mencatatkan 264 kes baharu di mana mengalami peningkatan sebanyak 33 kes berbanding Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan.
Mengenai trend kes mengikut daerah, Masidi berkata jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes dan penurunan kes agak setara iaitu masing-masing sebanyak 11 daerah.
Masidi berkata, tiada sebarang kematian direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), semalam.
Katanya, seramai 150 dilaporkan sembuh manakala seramai 642 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 327 orang di hospital, 314 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di fasiliti swasta.