KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes Covid-19 di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, mungkin akan meningkat mendadak dalam dua tiga hari ini.
Katanya, ia susulan ujian saringan besar-besaran yang akan dilakukan di Kampung Numbak serta petempatan Telipok, dekat sini, mulai hari ini.
“Setakat ini, jumlah yang disahkan positif wabak itu di skim petempatan Telipok adalah seramai 207 orang, manakala di Kampung Numbak 134 orang.
“Ujian saringan akan dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bermula esok (hari ini) dan saya ingin mengingatkan statistik kes harian Covid-19 di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, mungkin akan meningkat mendadak, bergantung kepada hasil ujian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah melalui aplikasi Zoom, di sini, semalam.
Masidi berkata, selain warga tempatan, penduduk di dua lokaliti berkenaan juga terdiri daripada warga asing.
“Jika dilihat berdasarkan statistik yang ada pada saya, 25.4% daripada 134 penduduk di Kampung Numbak yang disahkan positif (Covid-19) adalah warga asing, manakala di skim petempatan Telipok, daripada 207 yang positif, 13.4% adalah warga asing.
“Keutamaan sekarang adalah untuk menangani serta mengawal jangkitan penyakit ini (Covid-19), tidak kira sama ada dia orang tempatan atau warga asing.
“Sama ada mereka mempunyai dokumen atau tidak, kita serahkan kepada agensi kerajaan lain untuk membuat tindakan susulan,” katanya.
Terdahulu Masidi berkata, sebanyak 288 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah pada Isnin, iaitu kurang 93 kes berbanding hari sebelumnya.
“Daripada 288 kes ini, sebanyak 114 atau hampir 40% kes adalah dari daerah Kota Kinabalu, Tawau, Tuaran dan Penampang, manakala selebihnya, iaitu 174 kes adalah dari kategor lain.
“Selain itu, Sabah juga mencatat 4 kematian akibat Covid-19 hari ini, iaitu masing-masing 2 kes di Kota Kinabalu dan Tawau.
“Satu lagi kluster baharu juga dikesan di negeri ini hari ini, iaitu kluster Matambai di Kota Kinabalu yang mencatatkan sebanyak 21 kes,” katanya.