Covid-19: Kes Di Kota Kinabalu Dijangka Terus Melonjak

masidi-manjun-fmt-300820-1-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun menjangkakan kes Covid-19 di Kota Kinabalu terus melonjak dalam beberapa hari akan datang.

Katanya, ia berikutan kluster Penjara Kepayan mencatatkan kes baharu yang tinggi setiap hari dengan ramai lagi termasuk banduan, kakitangan penjara dan keluarga mereka akan menjalani ujian saringan.

“Saya ingin mengingatkan jumlah banduan di Penjara Kepayan sekitar 2,700 dan selepas mereka menjalani ujian saringan, sekiranya positif maka Kota Kinabalu akan melonjak ke 1 angka yang amat tinggi.

“Setakat ini mengikut laporan awal, sebanyak 60% daripada banduan dan kakitangan di Penjara Kepayan didapati positif (Covid-19) selepas ujian saringan dijalankan terhadap mereka,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah semalam.

Masidi berkata, beliau membuat kenyataan awal itu supaya masyarakat faham dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Kota Kinabalu.

“Kluster Penjara Kepayan paling banyak menyumbang jumlah kes harian yang tinggi di Kota Kinabalu namun pihak jabatan kesihatan kini sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada kluster itu.

“Ujian saringan Covid-19 giat dijalankan bukan saja dalam kalangan banduan tetapi kakitangan serta keluarga mereka dan kawasan Penjara Kepayan juga diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD),” katanya.

Semalam Sabah mencatatkan 535 kes positif Covid-19 dengan 90 di Kota Kinabalu.

Tawau mencatat kes harian tertinggi semalam iaitu 115 kes namun Masidi menegaskan jumlah agak tinggi itu sedikit-sebanyak daripada keputusan ujian saringan yang tertunggak.

Sabah juga mencatat 5 kematian semalam iaitu 3 di Tuaran dan masing-masing 1 di Tawau serta Semporna.

Selain itu, 3 lagi kluster baharu dikesan di Sabah iaitu kluster Basung dan kluster Inai di Kudat serta kluster Tempayan di Penampang.

“Kluster Basung membabitkan peniaga ikan di Kudat yang mana 26 kes positif manakala kluster Inai daripada 1 majlis inai juga di Kudat yang kini membabitkan 13 orang disahkan positif.

“Sementara itu, kluster Tempayan membabitkan sebuah restoran di Penampang dengan 19 pekerja serta pelanggan di situ disahkan positif Covid-19,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top