Covid-19: Kenaikan Kes Mendadak Di Sabah Mungkin Disebabkan Varian Omicron, Kata Masidi

omicron.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu Covid-19 yang melambung tinggi di Sabah kemungkinan disebabkan oleh varian Omicron.

Katanya, varian Omicron dikesan lebih cepat merebak walaupun gejala jangkitan lebih ringan daripada varian lain namun kemungkinan itu masih tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kadar perebakan Varian B2 Omicron yang merupakan varian dominan di negara jiran Filipina adalah 1.8 lebih cepat daripada varian biasa.

“Varian yang sama juga mengakibatkan peningkatan kes yang tinggi di Singapura dan di banyak negara di dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, antara faktor lain kenaikan mendadak kes baharu ialah wabak terbabit sudah bertapak secara meluas dalam komuniti dan ini memudahkan kadar perebakan dan jangkitan dengan lebih cepat.

Katanya, sebanyak 47.55% jangkitan baharu di Sabah, hari ini, berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan Covid.

“Inilah kategori pesakit yang diperolehi melalui saringan bergejala dan jumlah kategori ini lebih tinggi daripada jumlah pesakit yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks iaitu sebanyak 45.37%.

“Selain itu, antara faktor menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi ialah sikap cuai atau “tidak peduli” segelintir masyarakat kepada keperluan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) sama ada semasa berkumpul dengan kawan-kawan atau semasa berada di khalayak ramai.

“Sebagai contoh pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang sudah semakin longgar dan sikap cuai ini memudahkan jangkitan dan seterusnya menambah bilangan pesakit baharu,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, jumlah kes baharu di Sabah terus meningkat kepada 1,285 kes hari ini, peningkatan 80 kes berbanding semalam.

Katanya, empat daerah mencatatkan kes tiga angka dengan Kota Kinabalu melepasi paras angka 300 iaitu sebanyak 309 kes dicatatkan hari ini diikuti Sandakan yang mencatatkan 201 kes, Tuaran (150 kes) dan Penampang (108 kes).

“14 daerah lain mencatatkan kes dua angka, enam daerah dengan satu angka dan cuma tiga daerah tidak mencatatkan sebarang jangkitan baru.

“Daripada jumlah kes baharu itu juga, sebanyak 1276 adalah dalam Kategori 1 dan 2, terdapat lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top