COVID-19: IPD Penampang Paling Banyak Keluarkan Kompaun Di Sabah

ocpd-penampang.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: IPD Penampang mengeluarkan jumlah kompaun tertinggi kepada orang awam di seluruh Sabah semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim, pihaknya sudah mengeluarkan 500 kompaun yang dianggarkan mencecah setengah juta ringgit.

“Anggaran nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan ini berjumlah RM500, 000 adalah mengikut nilai tertinggi RM1, 000 setiap kompaun,” katanya, di sini.

Haris berkata kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan pelbagai kesalahan akibat kegagalan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, antara kesalahan popular adalah kegagalan memakai pelitup muka, berada di kawasan sesak tanpa mengamalkan penjarakan fizikal seperti di kafe dan restoran.

“Lazimnya, kita mendapati pemilik dan pelanggan di premis kafe dan restoran tidak mematuhi peraturan berkaitan had kapasiti meja yang sudah ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai terus mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sekalipun kini ada kelonggaran.

Beliau berkata kejayaan memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 bergantung dengan tahap pematuhan SOP dan komitmen semua pihak bekerjasama. –Sabah Post


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top