Covid-19: Indonesia Mula Uji VaksinBuatan Sendiri Kepada Manusia

vaksin-indonesia.jpg
Kongsi Bersama

SURABAYA: Badan kawal selia Indonesia memberi ‘lampu hijau’ untuk memulakan ujian vaksin COVID-19 buatan sendiri kepada manusia mulai semalam, Rabu (9 Feb) ekoran kes peningkatan yang melonjak naik ketika ini.

Penyelidikan mengenai vaksin ‘merah putih’ (Red White), dinamakan sempena warna bendera Indonesia itu diketuai Universiti Airlangga dan Biotis Pharmaceutical Indonesia.

Memetik laporan AFP, projek itu mengalami kelewatan sejak bermula pada 2020, namun pihak berkuasa kini diharapkan membenarkan penggunaannya menjelang pertengahan 2022 jika percubaan itu berjaya.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, berkata pelalian yang akan dilancarkan pada peringkat akhir kempen vaksinasi Indonesia itu juga boleh didermakan kepada negara lain.

“Ia sesuai sebagai suntikan dos penggalak atau sebagai vaksin untuk kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.

“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan Presiden dan beliau bersetuju untuk menyumbangkan vaksin ini kepada negara yang memerlukan,” katanya pada majlis pelancaran ujian percubaan kepada manusia di Surabaya.

Fasa pertama dan kedua ujian klinikal bakal membabitkan 90 dan 405 sukarelawan dewasa.

Vaksin Merah Putih sudah memperoleh pengiktirafan halal daripada Majlis Ulama Indonesia, badan keagamaan tertinggi negara majoriti Islam itu, menurut Dekan Universiti Airlangga, Mohammad Nasih

“Kami berharap dengan sijil halal ini, keyakinan orang awam untuk menggunakan vaksin ini lebih tinggi,” katanya kepada wartawan.

Indonesia ketika ini sudah meluluskan 13 jenis vaksin dan dos penggalak tetapi kebanyakannya menggunakan vaksin buatan China dan bergelut untuk memperoleh dos mencukupi untuk menampung penduduknya seramai 270 juta orang.

Kerajaan Indonesia menekankan kepentingan membangun dan menghasilkan vaksin nasional sejak awal pandemik ini lagi.

Negara itu mula dilanda COVID-19 pada Julai tahun lalu ketika penularan varian Delta berleluasa.

Kes harian menurun dengan ketara pada akhir tahun, namun penularan Omicron baru-baru ini membawa negara kembali kepada 30,000 kes yang disahkan dalam tempoh sehari.

Secara keseluruhan, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu melaporkan lebih 4.5 juta kes yang disahkan dengan hampir 145,000 kematian.

Pelancaran vaksinasi negara itu juga agak perlahan dengan kira-kira 48 peratus (48%) daripada penduduk diberi vaksin dua dos suntikan dan hanya lima juta rakyatnya diberikan dos penggalak. – Sabah News


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top