Covid-19: Hampir 200 Sepanduk Notifikasi Zon Merah Di Labuan Diturunkan

covid-labuan-bernama.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Hampir 200 sepanduk notifikasi zon merah Covid-19 yang dipasang di tiang-tiang lampu di pusat bandar Labuan telah diarah supaya diturunkan serta-merta semalam sehingga menyebabkan penduduk setempat tertanya-tanya mengenai motif tindakan itu.

Bernama melaporkan kakitangan unit promosi jabatan kesihatan bertindak pantas menurunkan sepanduk-sepanduk itu yang sebelumnya di pasang di jalan utama di sini iaitu Jalan Tun Mustapha.

“Walaupun memiliki permit iklan dari pihak berkuasa tempatan iaitu Labuan Corporation (seperti yang tertulis di spanduk), sepanduk pemberitahuan zon merah Covid-19 diarah supaya diturunkan hari ini,” kata seorang pegawai unit promosi jabatan kesihatan.

Dia berkata sepanduk serupa diletakkan di semua 27 kampung dan kawasan perumahan selepas pulau bebas cukai ini diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19 sejak 17 Mei setelah mencatat lebih dari 40 kes dalam tempoh 14 hari lepas.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, Dzulfaizal Manan berkata, sepanduk zon merah Covid-19 tidak sepatutnya diturunkan memandangkan peningkatan jumlah kes baharu di Labuan sejak tiga minggu terakhir.

“Kami berharap sepanduk zon merah yang dipasang di kawasan bandar, kampung dan kawasan perumahan dikekalkan kerana adalah penting bagi orang untuk mengetahui lokasi mana yang mempunyai jangkitan,” katanya.

Menurut Bernama, ketika dihubungi, seorang pegawai kanan Labuan Corporation mengatakan arahan dikeluarkan pagi semalam agar semua sepanduk segera diturunkan.

“Kami telah memberikan permit untuk sepanduk itu dipasang, tetapi pihak atasan meminta agar permohonan baharu dikemukakan untuk kelulusan,” katanya.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top