COVID-19: Gelombang Baharu Akan Berlaku Menjelang Hujung Tahun – Pakar Kesihatan

covid-thai.jpeg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Negara bakal menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dan wujudnya satu gelombang baharu menjelang hujung tahun ini jika ramai yang masih enggan mengambil suntikan dos penggalak.

Jelas Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli, orang ramai perlu memandang serius terhadap pengambilan dos penggalak atau booster shot kerana ia akan memberi lebih imuniti terhadap seseorang.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, ia unik kerana ia akan berlaku pada hujung bulan November dan pada waktu yang sama, kita tahu sudah berjuta rakyat Malaysia yang telah dua suntikan vaksin.

“Juga, kita tahu selepas tiga hingga enam bulan selepas penerimaan dos penuh, kadar imuniti seseorang bakal menurun pada paras lebih kurang 29 peratus sahaja.

“Jadi, kita akan nampak satu gelombang yang akan berlaku hujung tahun ini dan akan memasuki kepada tahun 2022 pula kenaikan kes itu akan terus berlaku,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan bahawa salah satu cara untuk memastikan gelombang yang bakal berlaku itu tidak menjejaskan sistem kesihatan awam, orang ramai perlu segerakan pengambilan dos penggalak.

“Cara untuk kita memastikan gelombang ini tidak menjejaskan kesihatan awam, bermakna gelombang itu akan berlaku tetapi kita tidak mahu rakyat meninggal dunia disebabkan COVID-19.

“Kita harus memastikan mereka (rakyat) menerima dos penggalak sebelum waktu imuniti mereka terus menurun,” tambahnya lagi.

Beliau pada masa sama menganggap PRN Melaka yang berlangsung sebagai salah satu ukuran atau penterjemahan bagi melihat sama ada rakyat memahami tentang bahayanya risiko berkumpul ketika pandemik masih lagi wujud.

“Saya sebenarnya amat gembira, apabila PRN Melaka ini dilaksanakan kerana di sini selepas dua tahun kita menghadapi COVID-19 di negara kita.

“Kita boleh tengok apa penterjemahan atau informasi dan ilmu yang telah kita berikan kepada rakyat, adakah mereka memahami?

“Jadi apabila kita tengok PRN Melaka ini, kita nampak memang mereka (individu yang berkumpul) tidak faham sebenarnya, ataupun mereka tidak peduli.

“Oleh kerana itu, mereka masih lagi berkumpul, mereka masih lagi sarapan sampai empat kali sehari, bayangkan jika seseorang yang bertanding itu merupakan super spreader, jadi dia makan empat kali sarapan dalam satu hari, dia akan merebakkan virus itu di empat tempat yang berbeza.

“Jadi, benda-benda ini yang harus kita tengok dan faham bahawa orang masih lagi tidak peduli tentang seriusnya perkara COVID-19 ini di kalangan masyarakat. – AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top