Covid-19: 2,969 Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

covid-update.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan 364 kes jangkitan Covid-19 hari ini apabila merekodkan 2,969 kes berbanding 3,333 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, walau bagaimanapun, jumlah kes di hampir semua daerah hari ini adalah tinggi.

Katanya, mengambil kira peratusan kes simptomatik yang amat tinggi (56.35%), kadar penularan virus adalah lebih cepat dan ini boleh mengakibatkan kes-kes jangkitan harian yang tinggi.

“Lapan daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu dengan 565 kes, Penampang 346 kes, Sandakan 327 kes, Tuaran 248 kes, Papar 241 kes, Tawau 181 kes, Lahad Datu 151 kes dan Ranau 121 kes.

“Sebanyak 18 daerah lagi mencatatkan kes dua angka dan hanya Kalabakan yang mencatatkan kes satu angka,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.

Menurut beliau, seperti yang dinyatakan lebih awal peratusan kes-kes simptomatik atau bergejala adalah tinggi hari ini, iaitu 56.35% (1,673 daripada 2,969 kes).

Katanya, kes-kes simptomatik atau bergejala adalah penyumbang utama kepada kes-kes baharu di hampir semua daerah di Sabah, khususnya daerah-daerah yang merekodkan kes harian tiga angka seperti Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Tuaran, Papar, Tawau, Lahad Datu dan Ranau.

“Peratusan kes-kes simptomatik yang tinggi bermakna virus Covid-19 sudah bertapak dalam komuniti di daerah-daerah berkenaan dan jangkitan secara sporadik sudah menjadi punca jangkitan utama,” ujarnya.

Masidi berkata, empat kluster baharu diisytiharkan hari ini – tiga kluster melibatkan sekolah (kluster institusi pendidikan) dan satu lagi kluster di tempat kerja.

Katanya, Kluster Jalan Getah di Kunak merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan SMK Kunak, melibatkan seorang pelajar perempuan (kes indeks) yang tinggal di asrama sekolah tersebut yang didapati positif setelah menjalani saringan kerana bergejala.

Saringan ke atas kontak rapat mendapati 21 orang lagi positif termasuk tiga kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif 22 kes, katanya, sambil menambah, mereka semua adalah dalam kategori ringan, telah diasingkan dan diberi rawatan sewajarnya.

Kluster Madai yang juga di Kunak pula melibatkan sekolah di daerah tersebut, iaitu SMK Madai.

Masidi berkata, kes indeks adalah seorang pelajar perempuan berumur 13 tahun yang telah menjalani saringan kerana bergejala dan disahkan positif.

“Jumlah kes kumulatif kes kluster ini ialah 40 kes, termasuk 10 kes baharu hari ini. Semua mereka berada dalam kategori ringan, telah diasing dan diberi rawatan sewajarnya,” ujarnya.

Di Kota Kinabalu, Kluster Jalan Gudon merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan pelajar SMK Bandaraya Kota Kinabalu.

Masidi berkata, kes indeks adalah seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didapati positif setelah menjalani saringan kerana bergejala.

Jumlah kumulatif  kes setakat ini ialah 22 kes termasuk 5 kes baharu hari ini. Semua mereka adalah dalam kategori ringan, telah diasing dan diberi rawatan sewajarnya.

“Terdapat satu kluster tempat kerja di Kota Kinabalu, iaitu Kluster Sutera 2, melibatkan seorang kakitangan pengurusan (kes indeks) berusia 33 tahun di tapak pembinaan yang didapati positif setelah menjalani ujian saringan di sebuah klinik swasta kerana bergejala.

“Saringan ke atas kontak rapat mendapati 57 orang lagi pekerja dikesan positif. Semua kes telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya,” jelas beliau.

Sejumlah 2,953 (99.46%) daripada 2,969 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lapan kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.

“Ini bermakna hanya 16 orang memerlukan rawatan di hospital. Ini juga merupakan bukti nyata keberkesanan pengambilan vaksin,” kata Masidi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top