KOTA KINABALU: Clare Taunek Simbat (gambar) dilantik sebagai Ketua Wanita DAP Sabah yang baharu di Konvensyen Wanita DAP yang diadakan secara maya pada Ahad.
Dalam ucapan pertama beliau selaku Ketua Wanita DAP Sabah, Clare berkata bukan mudah menjadi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu, dan sekaligus menceburi bidang politik kerana ia memerlukan komitmen dan keberanian yang bukan sedikit dalam menyahut cabaran dan terus maju ke hadapan.
“DAP menyedarkan saya akan kepentingan kesaksamaan gender dan pentingnya wanita mengambil bahagian sebagai pembuat keputusan (decision maker).
“Pemimpin wanita DAP yang lain banyak memberi saya inspirasi yang menjadi bekal semangat dan harapan, bahawa wanita bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh berperanan menjadi ‘game changer’ dalam masyarakat dan negara,” katanya.
Menurut Clare lagi, masih ramai wanita di kalangan Orang Asal Sabah yang belum menyedari akan kepentingan mengapa wanita perlu turut serta sebagai pembuat keputusan dan mesej ini perlu disebarluaskan kepada rakan-rakan wanita supaya mereka berani tampil dan mengambil langkah ke hadapan.
“Kesaksamaan gender adalah satu misi untuk diperjuangkan demi mencapai pembangunan lestari oleh itu wanita perlu mengambil peranan menjadi ejen perubahan demi generasi yang lebih cemerlang” ujar Clare.
Dalam pada itu, melalui konvensyen maya ini Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng turut membangkitkan semangat para perwakilan dan pemerhati yang turut serta.
Chong berkata wanita bakal pemimpin perlu bersedia dengan membentuk pemikiran sendiri dan bagaimana melihat diri sendiri (refleksi diri) sebagai satu cara meneruskan lagi perspektif mental agar dapat maju dan sedia untuk memimpin.
“Sentiasa memperkasakan diri dan berfikir apakah sumbangan diri terhadap masyarakat dan negara, bagaimana mewujudkan platform supaya lebih ramai wanita tampil untuk berkhidmat terutama diperingkat sebagai pembuat keputusan.
“Apabila anda berkapasiti, bersemangat, keazaman yang tinggi, mempunyai kompetensi dan berkebolehan barulah suara anda boleh didengari. Langkah seterusnya adalah usaha untuk membuat perubahan polisi dengan menempatkan diri bersama-sama di meja pembuat keputusan,” kata Chong.
Katanya, setiap keputusan yang dibuat mampu membawa impak perubahan.
Oleh itu pemimpin wanita harus memutuskan apakah perubahan yang diingini untuk masyarakat dan negara, tambahnya.
Barisan AJK Wanita DAP Sabah yang baharu turut menyenaraikan penyandang jawatan yang baharu seperti Pang Pit San sebagai Timbalan Ketua Wanita dan Yiska Lassan sebagai Setiausaha. – Warta Oriental