LERRY DAVID, guru Bahasa Melayu Kolej Vokasional Keningau, telah terpilih sebagai salah seorang pemenang Anugerah Guru Inspirasi Kebangsaan yang ditaja oleh Mcdonald’s.
Lerry telah menerima anugerah tersebut di Festival Hari Guru Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, pada 14 Mei 2022.
Dengan kemenangan itu beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 trofi dan sijil. Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.
Lerry mula melakar nama apabila mewakili Malaysia sebagai pembentang di persidangan dalam talian yang berpusat di Tokyo, Jepun, pada Disember 2020.
Dengan inovasi aplikasi mudah alih yang telah diciptanya, dia berjaya melayakkan diri sebagai finalis pertandingan geran kebangsaan yang dikenali sebagai Cikgu Kickstart Award pada tahun 2021.
Dia telah memenangi RM2,000 semasa pertandingan itu. Pada Januari 2022, Lerry membentang aplikasi ini di persidangan maya yang dianjurkan dari New York City, Amerika Syarikat.
Selain daripada itu, Lerry juga merupakan pengurus pasukan bola tampar kolej tersebut yang pernah memenangi kejohanan kebangsaan pada tahun 2019.
Dia turut bertugas sebagai ketua warden di KV Keningau yang memerlukan banyak pengorbanan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar terutamanya semasa musim pandemik.
Pengarah Kolej itu Johari @ Jaibet Bin Sabin, mengucapkan tahniah kepada Lerry kerana usaha dan pengorbanannya sebagai seorang guru yang wajar diberi pengiktirafan.
Dia bersyukur kerana Lerry terpilih sebagai pemenang anugerah berprestij ini dan berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada guru-guru lain di kolej itu serta para pelajar. – Sabah Post