PENAMPANG: Seorang guru di daerah Sandakan, Frenerietta Sobitun dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah yang baharu.
Guru berusia 25 tahun yang berasal dari Tambunan itu menewaskan 43 calon pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisan di sini, malam tadi.
Frenerietta mengambil alih gelaran daripada Unduk Ngadau tahun lalu, Maya Hejnowska dan memenangi hadiah bernilai lebih RM120,000 termasuk biasiswa dan hadiah wang tunai.
Kali terakhir wakil dari Sandakan memenangi gelaran itu ialah pada 1996.
Pemenang tempat kedua dan ketiga ialah Esther Marius dari daerah Papar dan Deedee Cassendra dari daerah Ranau.
Esther memenangi hadiah bernilai RM53,000, manakala Deedee membawa pulang hadiah bernilai RM46,000.
Pemenang tempat keempat hingga ketujuh turut menerima hadiah.
Mereka ialah Carolyn Tony dari Penampang (tempat ke-4), Allveanna Loimin dari Kiulu (tempat ke-5), Evanatie Sannie dari Kota Marudu dan Sylvernie Belinda dari Inanam (tempat ke-7).
Sebagai Unduk Ngadau baharu, Frenerietta akan mewakili Sabah dalam pelbagai program sosial dan budaya, antara lain untuk mempromosikan budaya negeri ini.