KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew tidak berhasrat menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah, jawatan yang pernah disandangnya dahulu.
Sebaliknya beliau menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud (gambar, kanan) untuk dilantik ke jawatan itu.
Liew berkata, Mustapha layak mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Dr Sangkar Rasam, memandangkan beliau mendapat sokongan pemimpin PKR bahagian di Sabah, di samping merupakan timbalan menteri pendidikan tinggi.
Bagaimanapun, beliau menambah, terserah kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menentukan langkah seterusnya ketika lawatannya ke Sabah pada 20 April ini, bagi menyelesaikan krisis berbangkit.
“Semua ketua bahagian akan bekerja sebagai satu pasukan tidak kira apa jua keputusan Anwar.
“Seperti yang saya pernah katakan, PKR tak akan pecah. Telah ramai yang masuk dan keluar parti tetapi saya tetap setia pada PKR. Siapapun dipilih sebagai pengerusi, kami akan bekerjasama, ” katanya yang pernah memimpin PKR Sabah selama 20 tahun, lapor The Borneo Post.
Sebelum ini, Ketua PKR Kota Marudu Sazalye Donol dilapor berkata 15 daripada 26 ketua PKR bahagian di Sabah menyeru Sangkar berundur, atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.
Sangkar menafikan dakwaan bahawa beliau tidak melaksanakan tugasnya dengan efektif dan gagal menganjurkan program memperkasakan PKR Sabah.