KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew memuji Persatuan Tukang Paip Sabah yang baru ditubuhkan dengan inisiatifnya merancang untuk meraikan Hari Paip Sedunia pada 16 Februari depan.
Christina berkata, kementeriannya akan menyokong acara yang julung kali diadakan ini dari sudut kebersihan dan perlindungan alam sekitar.
“Ia adalah langkah yang paling tepat pada masanya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemasangan paip yang betul untuk menjimatkan air dan mengelakkan kebocoran.
“Persatuan ini melakukan inisiatif yang betul untuk mendidik golongan muda mengenai pemuliharaan air dan perkara lain yang berkaitan bermula dari sekolah.
“Melalui cara ini, murid akan belajar menghargai keperluan untuk penggunaan air secara berhemah,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Tukang Paip Sabah yang diketuai oleh Presidennya Carmen Wong.
Turut hadir Penasihat Persatuan Tukang Paip Sabah Y.C. Chong dan Ahli Jawatankuasa Caleb Tseu dan Kendy Yeong.
Wong berkata, program itu akan melibatkan penyertaan murid sekolah melalui pertandingan melukis yang membolehkan mereka meluahkan idea tentang kebersihan air, pemuliharaan dan sanitasi.
Sementara itu, dalam taklimatnya, Pengerusi Penganjur Acara S.P. Teo berkata, Hari Paip Sedunia adalah acara global yang disambut setiap tahun pada 11 Mac untuk menyerlahkan peranan penting kemudahan paip dalam perlindungan kesihatan dan alam sekitar.
Bagi sambutan Hari Paip Sedunia di Sabah, beliau berkata, terdapat dua acara pada 16 Februari yang diadakan di Kompleks Hakka Sabah iaitu ekspo paip yang menampilkan 45 gerai untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan pada waktu pagi, manakala acara Makan Malam Paip Sedunia pada sebelah malam.
“Kami menjemput penceramah daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menyampaikan ceramah mengenai topik berkaitan, sebagai sebahagian daripada program itu,” katanya.
Berita asal: Utusan Borneo