TAWAU: Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berpuas hati dengan projek mitigasi banjir (pakej 3 dan 4) di Tawau kini berjalan lancar selepas tergendala sebelum ini.
Beliau difahamkan punca projek berkenaan tergendala sebelum ini adalah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan COVID-19.
Katanya, Rancangan Tebatan Banjir dalam pakej tiga di Sungai Tawau sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah melibatkan pelebaran dan pendalaman muara sungai serta menaik taraf Jambatan Apas.
“Saya gembira ketika mendapat makluman berkaitan dengan projek mitigasi banjir di sini yang kini dilaksana.
“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran di Tawau, kerja-kerja kini berada pada tahap 29.90 peratus. Pakej ketiga ini dijangka akan siap pada April 2023 seperti dijadualkan, kemudian pakej empat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata, pakej empat mensasarkan pelebaran muara sungai dari Sungai Rakis sehingga Sungai Tawau. Usaha berkenaan dijadualkan siap pada Januari 2024.